Warga emas temui wang syiling berusia 111 tahun

TUTONG, 2012 – Sebuah keluarga di Kampung Telaga Sultan Luangan Duduk Mukim Keriam Tutong terkejut apabila ayah mereka, seorang warga emas menemui sejenis logam ketika sedang mencangkul untuk batas kebun di kawasan rumahnya, iaitu sekeping wang syiling lama berusia 111 tahun.

Menurut salah seorang anaknya, bunyi melenting apabila mata cangkul terkena satu logam yang agak keras, menimbulkan rasa ingin tahu ayahnya dan mendorongnya untuk mencari lalu menemui benda yang berbentuk bulat dan nipis.

Memandangkan faktor usia dan penglihatannya yang kurang jelas, logam berkenaan lalu dibersihkan dan dibawa balik untuk ditunjukkan kepada anak-anaknya dan lebih mengejutkan lagi logam tersebut adalah sekeping syiling lama yang berbentuk bulat dan berukuran besar sedikit daripada wang syiling 50 sen negara kita sekarang.

Wang syiling lama yang bernilai satu dolar itu jelas menunjukkan ciri-cirinya iaitu pada muka depan memaparkan bentuk seorang sateria berpakaian tentera zaman dahulu dengan memegang lembing bermata tiga dengan perisai berukiran seperti lambang negara barat berlatar belakangkan sebuah kapal pelayaran dengan tertera tulisan ‘one dollar’ pada permukaannya.

Pada sisi bawahnya pula tercatat tahun 1901 manakala pada muka belakangnya melambangkan beberapa ukiran yang kemas dan tercatat dua tulisan yang berbeza iaitu tulisan China dan ‘satu ringgit’ dalam tulisan jawi.

Wang syiling unik ini berkemungkinan pernah digunakan di negara kita pada suatu ketika dahulu berkemungkinan diperbuat dengan campuran logam berkualiti tinggi kerana tidak menunjukkan sebarang kerosakan atau karat walaupun sudah sekian lama terpendam di dalam tanah.

Ia juga menunjukkan beberapa gambaran bukti sejarah seperti jalinan rangkaian perdagangan dan persahabatan dengan beberapa buah kerajaan manakala muka depan wang syiling berkenaan berkemungkinan memaparkan wajah seorang ternama atau berkedudukan tinggi yang termasyhur pada zaman pelayaran suatu ketika dahulu.

Menurut anaknya lagi wang itu tetap disimpan dengan sebaik-baiknya sebagai satu kenangan yang sangat istimewa dan berharga dan tidak berhasrat untuk menjualnya walaupun nilai asalnya cuma satu ringgit.