Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 18 Julai – Selagi dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik, warga emas tidak melepaskan peluang untuk bersua muka dan menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, pagi tadi.
Hajah Norhayati binti Mohd Tamin, 67, dari Kampung Penapar semasa ditemui di majlis itu berkata, beliau sangat berbesar hati untuk bertemu dengan Baginda Sultan.
“Inilah masanya kami berjumpa bersama raja Brunei di hadapan mata selagi kami diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur,” jelasnya.
Katanya, beliau tidak kisah berhimpit bersama orang ramai bagi bersalaman dengan Baginda Sultan berserta ahli kerabat diraja yang lain, lagi pula di majlis tersebut, beliau bukan sahaja berseorangan.
Majlis itu juga memberinya peluang untuk berjumpa saudaranya, Dayang Lauyah binti Sulaiman dari Kampung Serambangun, Daerah Tutong dan seterusnya dapat berkongsi pengalaman manis bersama raja yang tercinta.



Perasaan teruja juga dikongsi oleh dua orang warga emas dari Kampung Sengkarai, Awang Samad bin Yahya, 72 dan Dayang Mahani binti Abdul Razak, 71, yang tidak ketinggalan hadir meraikan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Daerah Tutong.
Awang Samad berkata, hampir 16 tahun, beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk sama-sama meraikan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa sesi beramah mesra bersama penduduk dan rakyat Daerah Tutong.
Jelasnya, beliau tiba di Padang Kemasyarakatan Daerah Tutong lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan seterusnya berada bersama penduduk dan rakyat Mukim Pekan Tutong.
Sementara itu, Dayang Mahani menyatakan bahawa kehadirannya ke majlis ramah mesra berkenaan adalah kerana keinginannya bertemu Baginda Sultan dan ahli kerabat diraja yang lain.
Beliau menasihati belia-belia agar sentiasa hadir dan meraikan Majlis Ramah Mesra bersama Baginda Sultan ini kerana, menurutnya, selaku rakyat dan penduduk Brunei, perlu bersyukur kerana mempunyai raja yang pemurah kepada rakyat.