Warga Greece protes pembinaan kem baharu

ATHENS, 13 FEB – Pegawai dan penduduk Greece dari pulau yang melindungi beribu-ribu pencari perlindungan mengadakan satu bantahan di Athens hari ini untuk menentang rancangan membina kem baharu.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan dari pulau Lesbos, Chios dan Samos berkumpul di luar kementerian dalam negeri, memegang sepanduk untuk menentang projek kem tersebut.

Kerajaan konservatif baharu yang berkuasa pada Julai telah mengumumkan bahawa kem sekarang, yang telah pun penuh sesak, akan ditutup pada tahun ini.

Mereka akan diganti dengan bangunan baharu yang lebih kecil yang dijangka beroperasi pada pertengahan 2020.

Namun pihak berkuasa dan penduduk lima pulau Aeges dengan tapak kem, yang termasuk Leros dan Kos, telah menentang inisiatif itu.

Penduduk pulau menuntut penyingkiran kebanyakan pencari perlindungan dan menuduh EU sebagai mengabaikan mereka.

“Jika kami menerima kem baharu untuk 7,000 orang, secara tidak rasmi ia mungkin berjumlah 20-25,000 orang,” kata Georgios Stantzos, datuk bandar timur Samos. Kebuntuan berterusan itu, lima tahun selepas kemuncak krisis penghijrahan, telah menimbulkan kejengkelan di kalangan penduduk kedua-dua pulau dan pencari perlindungan.

Keganasan sering meletus dalam kem penuh sesak, dan pada minggu lalu tujuh orang di Lesbos ditahan kerana disyaki menubuhkan kumpulan sukarelawan untuk menyerang pelarian. – AFP

Perkataan ‘Tidak’ dalam bahasa Greece ditulis di lereng bukit tatkala penduduk pulau Chios menunjuk perasaan di tempat di mana kerajaan merancang membina kem pendatang baharu di Athens kelmarin. – AFP