Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Kumpulan Penderma Darah Warga India hari ini mengadakan Kempen Derma Darah di Dewan Sekolah Menengah Berakas, untuk membantu golongan yang memerlukan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah.
Seorang ahli fisioterapi dari Kementerian Kesihatan yang juga merupakan salah seorang wakil kumpulan berkenaan, Mohamed Kassim bin Abdul Wahab semasa ditemui menjelaskan, ini merupakan kali ke-13 kempen tersebut diadakan sejak dimulakan pada tahun 2007.
Sambutan yang diterima semasa kempen pada bulan September sangat menggalakkan di mana lebih 140 orang penderma tampil menderma darah.
Kempen berkenaan telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan setiap tahun dan bermula pada tahun 2015, kumpulan penderma darah berkenaan telah mengadakan kempen dua kali setiap tahun.
Bagi tahun ini, mereka merancang untuk mengadakan kempen ini tiga kali, dua diadakan di Daerah Brunei dan Muara dan sekali akan diadakan di Daerah Belait buat julung kalinya.

Mengulas mengenai pemilihan tempat untuk mengadakan kempen tersebut, beliau berkata, mereka telah memilih kawasan Serusop kerana ramai daripada masyarakat India tinggal di kawasan tersebut, sekali gus dapat mengatasi masalah pengangkutan yang sering kali dihadapi oleh mereka yang ingin menderma darah.
Mereka juga telah mengedarkan risalah-risalah di kawasan tersebut seminggu sebelum kempen diadakan sebagai salah satu usaha untuk memberigakan kempen tersebut, di samping turut mempromosikan kempen berkenaan melalui media sosial.
Beliau berharap kempen tersebut dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dalam sama-sama menyahut seruan untuk menderma darah khususnya bagi masyarakat India dan orang ramai amnya.
Beliau juga gembira kerana setiap tahun jumlah penderma terus meningkat serta mendapat sambutan baik bukan sahaja daripada warga India di negara ini, malahan masyarakat lainnya.