Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga India didenda $2,500, calar kehormatan bendera

    Oleh Rafidah Jumat

     

    mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Seorang lelaki warga India yang menggunakan bendera kebangsaan untuk menutup tayar bas, yang dirakam orang awam dan tersebar dalam media sosial, telah dijatuhi denda $2,500 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

    Mohd Asgar, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Hindi oleh jurubahasa dari pihak kedutaan. Ketika kejadian 14 Mac itu, tertuduh diminta oleh rakannya yang ketika itu mengecat bas untuk mencari sesuatu yang boleh digunakan untuk menutup tayar bas bagi mengelak tayar itu dari menjadi kotor.

    Tertuduh masuk ke rumah sewanya dan menemukan bendera di dalam sebuah kotak. Dia mengambil bendera itu dan meletakkannya pada tayar bas.

    Orang awam yang kebetulan melihat bendera negara digunakan untuk menutup tayar bas terus bertindak mengambil gambar.

    Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memerintahkan defendan untuk membayar denda itu segera dan jika gagal berdepan hukuman seminggu penjara.

    Orang ramai sekali lagi diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab, menghormati dan melindungi integriti bendera kebangsaan dan sebarang kelakuan yang disifatkan sebagai tidak menghormati bendera rasmi negara tidak akan diterima dan tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Hajah Nor’Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda