Warga India terkandas selamat berlepas

Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Satu penerbangan carter, dijalankan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ke Coimbatore, Tamil Nadu di Selatan India hari ini, membawa 139 warga India yang terkandas di Brunei disebabkan penggantungan penerbangan akibat pandemik COVID-19.

Turut hadir untuk mengucapkan selamat belayar ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar serta pegawai-pegawai Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam. Menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi India, mereka yang dihantar pulang termasuk mereka yang diberhentikan kerja, pelawat jangka pendek dan mereka yang kembali ke India atas sebab-sebab terpaksa seperti bagi rawatan perubatan dan kecemasan keluarga.

Kenyataan menyatakan bahawa penerbangan berkenaan dikendalikan dengan mematuhi garis panduan berkaitan pandemik COVID-19 dan protokol operasi standard yang ditetapkan kementerian-kementerian kerajaan India.

Dalam kenyataan itu, Suruhanjaya Tinggi India menyampaikan penghargaan kepada RB, persatuan-persatuan India iaitu Persatuan India Belait (IAB), Persatuan Malayali (MA) dan Persatuan India Bandar Seri Begawan (BSBIA) serta warga komuniti India atas bantuan dan kerjasama mereka dalam memastikan proses pemulangan dan operasi penerbangan carter berkenaan berjalan lancar.

TYT Ajaneesh Kumar turut hadir mengucapkan selamat belayar kepada warga India yang terkandas di Brunei.