KUCHING, 17 Okt – Seorang warga Indonesia dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ketam di laut berhampiran Kampung Gerigat, Kabong semalam.
Abu Sahir Saleh, 41, dari Singkawang, Indonesia yang berkahwin dengan wanita tempatan dilaporkan keluar dari rumahnya kira-kira 1 pagi semalam untuk pergi menangkap ketam di laut, tetapi sehingga kini masih belum pulang ke rumah.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu hari ini pada pukul 1:52 tengah hari daripada Balai Polis Kabong.
Beliau berkata usaha mencari mangsa telah dilakukan oleh rakan-rakannya, namun gagal menjumpainya.
Jurucakap itu berkata gerakan mencari mangsa dalam lingkungan radius dua kilometer dari Muara Gerigat hingga Muara Selalang oleh pasukan bomba, polis dan orang awam masih gagal menemui mangsa. – Bernama