Warga Indonesia pulang beraya

BAGAN DATUK, 12 Jun – Saat berpeluang pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga sememangnya amat dinanti golongan perantau, lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah sekian lama bagi mencari rezeki di bumi Malaysia.

Tinjauan Bernama ke Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang, di sini hari ini mendapati terminal itu penuh sesak dengan kehadiran warga Indonesia yang menunggu giliran untuk pulang ke kampung halaman dengan menaiki feri dan turun di Jeti Tanjung Balai Asahan, Sumatera.

Bagi warga perantau ini, meskipun ada di kalangan mereka telah beratur seawal 7 pagi dan berasak-asak namun apa yang lebih penting adalah sampai ke destinasi dan meraikan kemeriahan raya bersama keluarga tersayang.

Bagi Darlina Darwi, 39, seorang pemegang taraf penduduk tetap (PR) Malaysia yang telah berkahwin lebih 10 tahun dengan seorang rakyat tempatan, berkata beliau akan pulang beraya di kampungnya di Tamiang, Aceh selama seminggu.

“Raya tahun ini giliran kami sekeluarga beraya di Aceh, tapi saya terpaksa pulang sendirian ke Aceh kerana sudah berjanji mahu berkumpul beraya bersama keluarga sebelah sana. Suami saya tidak dapat ikut kerana ada kerja,” katanya yang dihantar suaminya Baharuddin Li, 54, yang menetap di Temoh, Tapah.

Difahamkan tiket pergi balik ke Tanjung Balai Asahan berharga RM220 seorang, tidak termasuk caj barang dan cukai jeti. – Bernama