Warga Indonesia solat Aidiladha di KBRI

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan KBRI di Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan sembahyang sunat Aidiladha bagi masyarakat dan warga Indonesia yang berada di negara ini yang berlangsung di kompleks kedutaan berkenaan.

Sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha diadakan setelah mempertimbangkan situasi COVID-19 yang sudah terkawal di Negara Brunei Darussalam.

Duta Besar Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko berkata, “Alhamdulillah, situasi tahun ini lebih baik sehingga KBRI dapat kembali mengadakan solat Aidiladha bersama masyarakat Indonesia”.

Menurutnya, acara berkenaan dilaksanakan dengan tetap menerapkan protokol kesihatan yang ditetapkan di Brunei seperti had jumlah orang yang hadir (maksimum 1,000 orang), pemeriksaan suhu badan, pengimbasan kod QR apabila memasuki kompleks KBRI, membawa sejadah sendiri dan wajib menggunakan penutup mulut dan hidung.

Meskipun demikian, semangat jelas terlihat di wajah masyarakat Indonesia yang hadir, tambah beliau.

Acara berkenaan merupakan peluang untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim antara warga Indonesia dan juga sebagai pengubat rindu akan suasana kampung halaman.

Sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha telah diimamkan oleh Ajid Osman Hambali dan Prof Anis Malik Thoha yang merupakan pensyarah Indonesia yang mengajar di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) selaku khatib.

Dalam khutbahnya, khatib mengajak jemaah untuk mensyukuri nikmat yang telah diberikan Allah, terutama kesihatan dan berdoa bersama untuk Indonesia yang sedang berjuang melawan jumlah tinggi kes COVID-19.

“Meskipun kita tinggal aman di Brunei, jangan leka dan jangan lupa dengan saudara kita di Indonesia yang mengalami kesulitan akibat COVID-19,” pesan Dr Ahmad Yani.

TYT Dr Sujatmiko turut menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Masyarakat dan warga Indonesia yang berada di Brunei mengerjakan solat sunat Hari Raya Aidiladha di perkarangan kompleks KBRI di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.