Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Rakyat Indonesia di Negara Brunei Darussalam yang diwakili Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) dengan kerjasama Persatuan Masyarakat Indonesia (PERMAI) tidak ketinggalan memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-38 dengan menyertai perbarisan lalu semasa Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan ke-38 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.
Cuaca yang agak panas tidak mematahkan semangat para peserta yang memakai 12 pakaian tradisional mewakili pelbagai wilayah di Indonesia, serta 24 peserta memakai seragam batik hitam dan coklat.
Rombongan yang diketuai oleh Pengerusi PERMAI, Mukhidin Umar itu mengikuti jalan sejauh 400 meter ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Turut menyaksikan perbarisan berkenaan ialah ketua-ketua perwakilan asing di Negara Brunei Darussalam, termasuk Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko serta isteri, Nani Sujatmiko.
Peserta dari Indonesia menyatakan kegembiraan mereka kerana dapat menyertai upacara perbarisan sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini sekali gus mempamerkan pakaian tradisi Indonesia.
TYT Dr Sujatmiko turut melahirkan rasa bangga terhadap masyarakat Indonesia yang setiap tahun memeriahkan perbarisan lalu Hari Kebangsaan serta mempamerkan kekayaan budaya Indonesia khususnya pakaian tradisi pelbagai bentuk dan warna.