Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Kira-kira 200 warga Kampung Menunggol dan ahli keluarga yang menetap di kawasan bandar pulang ke kampung bagi sama-sama menyertai aktiviti gotong-royong dan kempen kebersihan di Tanah Perkuburan Islam Buang Kepayang, kampung tersebut baru-baru ini.
Kempen anjuran Majlis Perundingan Kampung Menunggol (MPK Menunggol) itu bermula seawal jam 7 pagi dan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Haji Mazlan bin Maimon selaku imam Masjid Kampung Menunggol. Aktiviti kemudian diteruskan dengan kempen membersihkan tanah perkuburan dan diikuti dengan Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung yang sudah pun menjadi adat resam dan amalan hidup penduduk di negara ini.
Amalan ziarah kubur amat digalakkan dalam Islam, ia bukan sahaja sebagai tanda kita mengingati ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah tetapi juga sebagai sunnah mengingati mati, malah melalui aktiviti ini, ia dapat menjalinkan ukhuwah dan menyemai semangat bergotong-royong dalam kalangan warga kampung.
Sebelum kempen diakhiri, acara tersebut turut diselajurkan dengan bacaan Tahlil untuk mendoakan kesejahteraan ahli keluarga dan kaum Muslimin dan Muslimat di negara ini.