Warga Kuwait gembira dapat pulang ke tanah air

BANDAR KUWAIT – Ketika dunia mengisytiharkan penularan wabak COVID-19 yang bermula dari China, ahli keluarga atau orang yang kita sayangi menjadi insan pertama yang kita fikirkan. Kekhuatiran menyelubungi diri untuk memikirkan keselamatan dan keberadaan mereka.

Apa lagi orang yang kita fikirkan itu berjauhan beribu-ribu batu dari keberadaan kita. Setentunya perasaan gelisah dan harapan kita mahu mereka pulang bersatu dengan kita. Hal ini biasanya terjadi bagi mereka yang belajar atau bekerja di luar negara.

Lebih-lebih lagi jika negara di tempat mereka diisytiharkan darurat atau dikenakan perintah berkurung yang menghalang untuk pulang ke negara masing-masing. Namun apabila dibenarkan untuk pulang, ia merupakan satu perasaan yang bercampur baur antara gembira dan sedih kerana dapat berjumpa semula tapi tidak dapat berinteraksi secara fizikal buat seketika.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, ramai orang Kuwait yang pulang dari luar negara disambut oleh keluarga mereka dengan menyentuhkan siku atau memberikan flying kiss daripada cara kebiasaannya berjabat tangan untuk mengelak daripada dijangkiti COVID-19.

Abu Muhammad, yang sedang menunggu anak perempuannya pulang dari Dammam, Arab Saudi, memberitahu media bahawa dia tidak dapat menyatakan kegembiraannya untuk dapat melihat anaknya lagi terutama dalam situasi penularan wabak ini.

Beberapa orang penumpang Kuwait memegang pasport masing-masing setelah menjalani saringan selepas turun dari kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait. – Xinhua
Gambar bertarikh 20 April 2020, menunjukkan para penumpang yang menuju ke balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait setelah pulang dari luar negara. – Xinhua

“Situasi ini amat menakutkan memandangkan peristiwa semasa. Saya merasa ngeri ketika anak perempuan saya tersekat di luar dan semua lapangan terbang ditutup,” katanya.

“Sekarang, saya gembira dan pada masa yang sama merasa sedih kerana tidak dapat menggambarkan perasaan melihatnya tetapi tidak dapat memeluknya dan melihat dia duduk bersama kami di bilik yang sama,” katanya.

Muhammad menyediakan bilik utama dengan bilik mandi peribadi untuk anak perempuannya menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Bilik itu disediakan khusus untuknya, kerana hanya alat plastik yang akan digunakan untuk makan atau minum. Mesin basuh kecil dibeli untuknya mencuci pakaian,” katanya.

Sementara itu, tiba di lapangan terbang dari luar negara, warga Kuwait Adel Al-Baghli menyatakan kebahagiaan dan kebanggaannya.

“Saya bangga bahawa saya adalah orang Kuwait memandangkan keadaan wabak koronavirus di sini agak rendah berbanding di seluruh dunia. Kerajaan kita terus bekerjasama dengan semua kedutaan untuk membuka lapangan terbang khusus untuk kita,” katanya.

“Demi Kuwait, saya akan tinggal di rumah seperti yang diperintahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia,” katanya.

Mengenai proses pengaturan di lapangan terbang, Mona Al-Khamees, seorang penumpang dari Kuwait, mengatakan ia sangat luar biasa.

“Ketika kami tiba, kami menerima bungkusan yang berisi topeng dan pembersih. Kemudian setelah selesai mencop pasport, kami dipaksa memakai gelang pengesan dan memuat turun aplikasi di telefon untuk mengesan kami ketika kami melakukan kuarantin di rumah,” katanya.

“Aplikasi ini bertujuan untuk melindungi saya serta keluarga dan memastikan kami tidak melanggar peraturan kuarantin di rumah yang wajib dilakukan,” katanya, menjelaskan bahawa jika mereka keluar, aplikasi akan mengirimkan pemberitahuan kepada pasukan perubatan.

Selain pekerja lapangan terbang, ada banyak sukarelawan, warga negara, dan ekspatriat yang bekerja di barisan depan untuk melayani penumpang dan mengatur kedatangan mereka.

Mohammed Alawneh, seorang sukarelawan Jordan, mengatakan kepada media bahawa dia bergabung dengan kumpulan sukarelawan untuk melayani orang-orang yang kembali ke Kuwait dan membimbing mereka melalui proses yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kuwait dianggap sebagai rumah kedua saya dan saya gembira dapat membantu,” katanya.

Pada hari Ahad lalu, Kuwait melancarkan fasa pertama rancangan pemindahan untuk membawa pulang warganya dari 16 destinasi dalam jangka masa tiga hari.

Menurut Saad Al-Otaibi, jurucakap Direktorat Jenderal Penerbangan Awam Kuwait (DGCA), 3,970 penumpang Kuwait, terkandas di luar negara yang dilanda koronavirus, tiba pada hari Isnin lalu melalui 25 penerbangan.

Menjelang hari Selasa lalu, 12,000 warganegara akan kembali ke Kuwait, katanya, menyatakan bahawa ini adalah fasa pertama daripada lima fasa untuk membawa pulang warga Kuwait dari luar negara.

Menurut Sheikh Salman Sabah Al-Salem Al-Humoud Al-Sabah, presiden DGCA, fasa kedua rancangan itu akan dilancarkan Khamis ini yang melibatkan warga Kuwait dari 23 destinasi.

Pada 4 April lalu, pemerintah Kuwait mengumumkan rancangan untuk mengembalikan warga negara itu dari luar negara, dari 19 April hingga 7 Mei ini. Terdapat kira-kira 50,000 warganegara Kuwait di luar negara di seluruh dunia. – Xinhua