Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Seorang lelaki warga Malaysia diperintahkan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, untuk membayar denda $8,000 atas tuduhan memiliki rokok dan minuman keras yang tidak diisytiharkan.
Ting Sing Luke, 29, mengaku bersalah memiliki 28 karton rokok dan 20 botol minuman keras di dalam keretanya di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 24 Januari 2017.
Perbuatannya menyeludup barang tanpa permit itu dikesan oleh pegawai kastam yang membuat pemeriksaan apabila menemui rokok dan minuman keras itu disembunyikan di beberapa bahagian kereta yang dipandunya.
Tertuduh mengaku membawa masuk rokok dan minuman keras itu sebagai persediaan menyambut Tahun Baru Cina.
Pegawai Pendakwa Kastam memaklumkan mahkamah bahawa harga cukai untuk rokok itu adalah $900 manakala cukai minuman keras adalah $319.
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memerintahkan tertuduh untuk membayar denda itu esok dan jika gagal akan berdepan lapan bulan penjara.