Warga Malaysia dihadapkan ke mahkamah

Oleh Yusrin Junaidi

BELAIT, 11 JUN – Seorang warganegara Malaysia, 45, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas empat tuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Pasport Penggal 145, di bawah Bab 6(3) Akta Imigresen Penggal 17 3, di bawah seksyen 69 Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan di bawah Seksyen 143 Perintah Kastam 2006.

Suspek pada 24 Mei lalu sekitar jam 4:04 petang telah memasuki negara ini melalui Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh, Daerah Belait dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih tanpa menjalani pemeriksaan imigresen.

Pada hari tersebut juga, kenderaan berserta pemandu berkenaan telah berjaya dikesan dan ditangkap oleh anggota Balai Polis Pusat, Bandar Seri Begawan.

Laporan mengenai kes berkenaan telah diterima oleh Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Pada masa ini, suspek ditahan reman bagi menjalani pemeriksaan kesihatan psikologi di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, sebelum melanjutkan perbicaraan seterusnya.