Warga Malaysia masuk Sarawak hanya perlu isi borang pengisytiharan kesihatan

KUCHING, 6 OGOS – Warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang memasuki negeri Sarawak kini tidak perlu lagi memohon dan mengisi borang ‘EnterSarawak.’

Bagaimanapun, mereka masih diwajibkan mengisi Borang Pengisytiharan Kesihatan, demikian diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Bagi warganegara asing dan warganegara Malaysia yang tiba atau transit dari luar negara, mereka masih perlu memohon dan mengisi borang EnterSarawak dan Borang Pengisytiharan Kesihatan,” menurut kenyataan jawatankuasa itu hari ini.

Warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang masuk ke Sarawak dengan destinasi terakhir mereka di kawasan pedalaman serta jauh dari klinik kesihatan yang ada menyediakan kemudahan untuk mengambil sampel COVID-19, akan dikuarantin di hotel.

“Sampel akan diambil pada hari kedua dan sekiranya keputusan adalah negatif, barulah mereka dibenarkan balik ke rumah masing-masing,” katanya. – Bernama