Warga maritim perlu dapatkan vaksinasi lengkap

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof telah menghadiri Sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Antarabangsa Maritim (IMO) ke-32 yang bermula kelmarin melalui kaedah sidang video.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, hari ini, menyertai Sesi Perhimpunan Agung IMO ke-32 itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohd Nazri bin Haji Mohd Yusof; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar; Pemangku Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (PBMP), Kapten Abdul Mateen Abdurrahman Liew serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan PBMP.

Yang Berhormat Dato dalam ucapannya semasa sesi kenyataan am yang diadakan hari ini, telah menekankan kedayatahanan serta kebolehsuaian industri maritim apabila berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Seterusnya Yang Berhormat Dato menekankan bahawa pelaut-pelaut, kakitangan pelabuhan serta ejen-ejen perkapalan sebagai critical frontline workers yang menjadi antara golongan pertama yang mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19 semasa program vaksinasi Negara Brunei Darussalam dimulakan pada April 2021.

Selain itu, keperluan pendidikan bermutu tinggi, latihan dan mempromosikan kerjaya di laut bagi mendapatkan pelaut-pelaut yang cekap dan berkelayakan dalam melaksanakan tugas-tugas seperti memastikan keselamatan kapal-kapal.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi ketika menghadiri Sesi Perhimpunan Agung IMO ke-32 melalui sidang video. – Gambar serahan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Ia juga bagi melindungi alam sekitar serta memastikan perdagangan antarabangsa terus bergerak dan usaha-usaha ke arah menjadi ahli serta perlaksanaan instrumen-instrumen IMO melalui perundangan bagi menguatkuasakan dan mengawal selia industri pelabuhan dan maritim, tegas Yang Berhormat Dato.

Perhimpunan Agung IMO ke-32 telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung IMO, Kitack Lim kelmarin di mana sesi perhimpunan agung berkenaan telah dipengerusikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Filipina ke United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, Tuan Yang Terutama Antonio Manuel R Lagdameo.

Sesi berkenaan dimulakan dengan sidang mesyuarat ketua-ketua delegasi untuk memilih presiden dan timbalan-timbalan presiden bagi perhimpunan tersebut.

Perhimpunan Agung IMO antara lainnya telah membincangkan reformasi Majlis IMO, pindaan ke atas konvensyen IMO, pelan strategik IMO bagi 2018 sehingga 2023 dan meluluskan peruntukan serta resolusi-resolusi perhimpunan IMO.

Semasa perhimpunan agung itu, seramai 66 orang ketua delegasi dari negara-negara ahli IMO termasuk Negara Brunei Darussalam telah membuat kenyataan am mengenai usaha-usaha dalam meningkatkan perlaksanaan inisiatif-inisiatif di industri maritim dari aspek keselamatan perkapalan, sekuriti maritim dan alam sekitar maritim.

Sesi akan diteruskan dengan pengundian bagi ahli-ahli Majlis IMO baharu sesi 2022-2023 pada 10 Disember serta Mesyuarat Sesi-sesi Komiti Teknikal sehingga 15 Disember nanti.

Sesi Perhimpunan Agung IMO yang diadakan setiap dua tahun merupakan perhimpunan utama negara-negara ahli IMO untuk membincangkan serta meluluskan resolusi-resolusi dan peruntukan IMO bagi meneruskan kerjasama maritim dan membangunkan industri pengangkutan maritim yang cekap, selamat dan mampan.