Warga M’sia boleh masuk Sarawak tanpa ujian PCR

KUCHING, 9 JUN – Semua warganegara Malaysia dibenarkan memasuki Sarawak tanpa perlu lagi mengambil sampel ujian polymerase chain reaction (PCR) tiga hari sebelum berlepas ke negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, pelawat yang memasuki Sarawak akan diambil sampel PCR secara rambang setelah tiba di pintu masuk utama negeri melalui udara, laut serta darat, dan mereka juga dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi ‘COVIDTrace Sarawak’ dan ‘Qmunity’.

Katanya, semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara akan diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di hotel, dan akan diambil sampel COVID-19 pada hari ke-10.

“Manakala bagi warga Malaysia yang masuk ke Sarawak, mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh sebulan yang lepas, mereka juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari dan akan diambil sampel COVID-19 pada hari ke-10,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini.

Katanya bagi warga asing yang masuk ke Sarawak dan memiliki permit kerja serta visa yang sah termasuk peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), mereka juga diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari dengan kos kuarantin ditanggung sendiri.

“Warga terlibat perlu mematuhi SOP iaitu diwajibkan untuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang deklarasi kesihatan di laman web http://sdmc.sarawak.gov.my,” katanya. – Bernama

Gambar fail bertarikh 9 Mei menunjukkan Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua, kiri) memeriksa suhu badan ketika melawat operasi pengesanan aktif kontak rapat kepada kes positif COVID-19 di Dewan Serba guna Datuk Dr Wan Junaidi di Tabuan Lot. – Bernama