Warga M’sia di Singapura antara terima suntikan

SINGAPURA, 17 JAN – Sejumlah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura telah menjadi antara penerima suntikan vaksin Pfizer BioNTech di negara tersebut.

Mereka yang telah menerima suntikan vaksin tersebut, kebanyakan bekerja dalam sektor yang diberikan keutamaan untuk menerima vaksin, di republik itu.

Sebahagian daripada mereka telah berkongsi pengalaman mereka menerima suntikan di laman Facebook Malaysian-Singapore Border Crossers, yang kini mempunyai hampir 82,000 ahli.

Imra Astata Ibrahim yang bekerja dalam sektor marin berkata, beliau menerima suntikan vaksinnya yang pertama pada 13 Januari dan akan menerima suntikan kedua selepas 21 hari.

Ketika dihubungi Bernama, Imra Astata, 40, yang menyewa di Jurong West di sini berkata, beliau tidak teragak-agak untuk menerima suntikan vaksin tersebut bersama 10 lagi rakan dari Malaysia.

Malah, bapa kepada tiga cahaya mata itu berpandangan yang dengan mengambil suntikan itu, keadaan akan menjadi lebih mudah untuknya berulang-alik ke Johor seperti sebelum ini.

“Siapa tahu, mungkin akan ada satu persefahaman antara kedua negara, bagi memudahkan pergerakan untuk pekerja yang telah menerima vaksin ini,” katanya.

Imra Astata telah kembali ke republik itu untuk bekerja pada 24 September 2020, selepas langkah-langkah memperketat pergerakan antara kedua-dua sempadan negara itu diperkenalkan pada Mac tahun lepas, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Ketika ditanya jika terdapat sebarang kesan sampingan selepas penerimaan vaksin tersebut, Imra Astata berkata, sebelum menerima suntikan itu, beliau dan rakan-rakannya telah dimaklumkan mengenai kemungkinan adanya kesan sampingan.

“Setakat ini, saya dan rakan-rakan masih sihat selepas mengambil suntikan. Hanya pada hari menerima suntikan, saya rasa sedikit kebas dan sakit di tempat suntikan,” kata Astata yang berasal dari Johor.

Kerajaan Singapura telah memperuntukkan semua rakyat Singapura dan penduduk jangka panjang di negara itu, untuk menerima vaksin sebelum akhir 2021, jika tiada gangguan yang tidak terjangka dalam penghantaran vaksin.

Singapura menerima penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 pada 21 Disember tahun lalu.

Bagi memastikan ketersediaan vaksin dan membolehkan Singapura mencapai kadar lebih tinggi pemberian vaksin kepada penduduk republik itu, vaksin akan diberikan secara percuma. – Bernama