Warga Norway ajak komuniti bersihkan sungai

KUCHING – Bahagian hulu Sungai Sarawak Kiri yang mengalir merentasi Padawan sebelum bertemu dengan Sungai Sarawak di sini, tidak pernah sebersih sekarang.

Dikenali sebagai Sungai Semadang oleh penduduk setempat, sungai itu pernah menjadi tempat “pelupusan” sampah sarap  oleh penduduk di sepanjang tebing yang membuang pelbagai jenis sampah – daripada sekecil-kecil beg plastik hinggalah perabot dan barangan elektrik.

Sedih melihat keadaan itu, pencinta alam warga Norway Lars Larsen, 45, secara sukarela memerah keringat membersihkan sungai tersebut selepas beliau dan isterinya yang berketurunan Bidayuh, Liza Ahgau, 46, berpindah balik dari Oslo, Norway ke kampung halaman Liza di Kampung Semadang, Padawan pada 2007.

Pasangan itu yang mempunyai dua orang anak – Froya, 11 dan Fiona, enam – mengusahakan inap desa mesra alam KuraKura Homestay yang terletak berhampiran Kampung Semadang, kira-kira 50 minit memandu dari bandar raya Kuching.

Dibina daripada kayu, inap desa di kawasan hutan dara tanah tinggi Borneo itu terletak di tebing Sungai Semadang dan mempunyai empat bilik penginapan.

Larsen yang merupakan bekas anggota tentera, berkata inap desa itu dibina bermodalkan wang simpanan yang dikumpul oleh beliau dan isteri semasa mereka bekerja di Norway.

“Saya, bapa mentua serta dua bapa saudara isteri mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan inap desa ini dan kami menerima kumpulan pertama tetamu pada Mac 2009,” katanya kepada Bernama, menambah inap desa mereka menjadi popular dalam masa yang singkat kerana kemudahan tersebut merupakan antara beberapa inap desa terawal dibina dalam kawasan hutan di pinggir bandar raya Kuching.

Lars Larsen menggalas kotak berisi sampah yang dikutipnya sepanjang Sungai Semadang. – Bernama
Ikan kelah merupakan spesies air tawar yang memerlukan air sungai bersih untuk hidup dan membiak, kebanyakannya boleh didapati di sungai-sungai di Sarawak. – Bernama
Sukarelawan Pasca Bieri dari Switzerland membantu rakannya Lar Larsen mengutip sampah di Sungai Semadang. – Bernama

 Isu alam sekitar

Memandangkan Sungai Semadang merupakan satu-satunya akses ke inap desa beliau – untuk ke situ, pengunjung perlu memudiki sungai selama 25 minit dari Kampung Semadang – Larsen tidak sanggup melihat sampah sarap yang terapung memenuhi sungai dan tebing sungai.  

“Pemandangan itu saya saksikan sepanjang dua tahun berulang-alik membina inap desa kami. Keadaan pada masa itu agak teruk dan saya pernah nampak kerusi, mesin basuh, dapur serta pelbagai beg plastik dibuang ke dalam sungai,” katanya. 

Keadaan sungai pada ketika itu mampu mencetuskan rasa gerun kepada sesiapa sahaja yang dilontarkan idea “ jom bersihkan sungai”, namun mahu tidak mahu Larsen gagahkan diri melakukannya seorang diri. 

Beliau akan keluar menaiki botnya dan mengaut segala sampah yang mampu dicapai. Kadang-kadang beliau turut disertai tetamu inap desanya yang secara sukarela membantu.  

“Kami berjaya bersihkan sungai itu daripada sampah-sampah besar, namun kadang kala sampah sedemikian ‘muncul’ kembali di tebing sungai, khususnya selepas musim hujan,” katanya.

Bagaimanapun katanya kerja membersihkan sungai itu daripada sampah, terutamanya beg dan botol plastik, bagaikan tidak berkesudahan.  

 Inspirasi

Usaha Larsen itu mendapat perhatian masyarakat setempat yang beroleh inspirasi untuk mengubah sikap mereka. 

“Saya gembira kerana dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini ada sedikit perubahan daripada segi sikap penduduk setempat, dan mereka nampaknya semakin sedar tentang (ancaman daripada) perbuatan membuang sampah merata-rata.

“Bagaimanapun masih ada ahli masyarakat yang membuang sampah ke dalam sungai, justeru usaha harus dipertingkatkan lagi,” katanya.

Bekas ketua kampung Kampung Semadang Samson Mangang memuji usaha Larsen itu dan berkata sungai tersebut semakin bersih dan menjadi tapak yang popular untuk pelaksanaan Sistem Tagang yang diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak pada 2007. 

Sistem Tagang merupakan kaedah penangkapan ikan secara terkawal bagi memulihara spesies akuatik di bahagian-bahagian tertentu sungai berhampiran kawasan perkampungan dan rumah panjang.

Pusat Kepakaran Wilayah (RCE) Kuching turut memasukkan Sungai Semadang dalam kempen 5R (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Repurpose) iaitu berkaitan pemuliharaan sungai pada 2019.

Naib Pengerusi RCE Kuching Mukvinder Sandhu berkata Larsen yang merupakan antara pihak berkepentingan dalam RCE Kuching, telah memberikan sumbangan besar dalam usaha mengurangkan impak pencemaran dan pembuangan sampah ke dalam Sungai Semadang. – Bernama