Warga pesara diharap terus sumbang bakti

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Para pesara Kementerian Kesihatan diharap akan terus menyumbangkan bakti kepada kerajaan dalam pelbagai aspek menurut kemampuan dan juga kemahiran yang ada pada diri mereka.

Di samping itu, mereka juga disarankan untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat kerana kesihatan diri perlu diberikan keutamaan demi kehidupan yang lebih sejahtera dan bermakna untuk dinikmati pada masa persaraan.

Harapan dan saranan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap, di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Penyampaian Sijil Persaraan dan Cenderahati kepada Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kesihatan bagi 2018 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderahati kepada para pesara yang diraikan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Haji Abdul Manap juga berkata, “Dengan latar belakang profesion yang berbeza, kita semua dapat bekerjasama dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing demi untuk memastikan amanah yang diberikan dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya melalui usaha dan inisiatif terutama dalam memberikan kecemerlangan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.”

Pada majlis itu, seramai 136 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan yang bersara pada 2018 telah menerima sijil penghargaan dan cenderahati yang mana seramai 130 orang adalah bersara wajib manakala enam orang bersara awal. Majlis itu diadakan setiap tahun sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih atas jasa bakti para pegawai dan kakitangan yang telah berkhidmat di Kementerian Kesihatan dalam bidang tugas masing-masing.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menyampaikan sijil dan cenderamata kepada salah seorang pesara.
Antara yang hadir pada majlis keraian tersebut.