Warga RB turut berbakti

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Lebih 60 pegawai dan kakitangan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) termasuk kru kabin menyokong usaha kerajaan dalam sama-sama mengawal penularan COVID-19 di negara ini dengan terlibat sebagai sukarelawan dan bekerjasama dengan Sukarelawan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kementerian Kesihatan.

Wakil Ketua Sukarelawan Belia, Mejar (B) Mohd Akhmal bin Sulaiman semasa ditemui di Pusat Sukarelawan Belia di Pusat Bahagia, Pulaie, hari ini, menjelaskan bahawa penyertaan RB dalam sama-sama memberi sokongan itu akan dapat mempermudah dan melancarkan segala urusan dalam memberi khidmat kepada masyarakat.

Beliau seterusnya menambah, pihak RB turut menyediakan dua buah van untuk kemudahan pengangkutan di samping terlibat dalam projek kemasyarakatan bagi mengagih-agihkan sumbangan kepada penerima di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan yang telah dikenal pasti dan layak untuk menerima sumbangan pada bulan Ramadan.

Di samping menyertai dalam aktiviti kemasyarakatan berkenaan, warga RB yang terlibat semasa pandemik ini juga akan ditempatkan di beberapa buah lokasi seperti lokasi pengasingan dan juga Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Sementara itu, Ketua Pegawai Risiko RB, Awang Kamal Ariffin bin Dato Paduka Haji Abdul Rahman pula menjelaskan, keterlibatan RB itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang telah bermula pada 20 April lalu.

Beliau seterusnya menjelaskan, akan ada lagi penyertaan daripada warga RB yang mana daripada jumlah yang ada pada masa ini, mereka ditempatkan di beberapa buah lokasi untuk membantu dalam mengawal dan melancarkan segala urusan.

“Sukarelawan RB dalam misi ini ditempatkan dalam dua kumpulan yang berbeza berdasarkan pengetahuan mereka di mana mereka yang memiliki pengetahuan pertolongan cemas akan ditempatkan di kawasan berisiko sederhana seperti di hospital (ruang kecemasan, wad) manakala bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan pertolongan cemas akan ditempatkan di kawasan yang berisiko rendah,” jelasnya.

Antara persatuan yang terlibat di bawah sukarelawan KKBS termasuk Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Majlis Belia Brunei, Alumni Belia Cinta Tanah Air, Malam Minggu Pusat Belia, PAMODA, dan Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB).

Turut hadir semasa temu bual itu ialah Taskforce Controller RB, Awang Mohd Irman bin Zaini dan Pegawai dari KKBS, Awang Mohd Amirul Syazmie Ibrahim.

Awang Kamal Ariffin menyerahkan senarai nama Team RB kepada Mejar (B) Mohd Akhmal di Pusat Sukarelawan Belia, Pusat Bahagia.