Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Sekolah Rendah Awang Haji Mohd Yusof Katimahar tidak ketinggalan menyemarakkan sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 dengan mengadakan majlis sambutan di sekolah berkenaan yang melibatkan penyertaan para pelajar dan guru-guru, baru-baru ini.
Acara tahunan yang diungkayahkan oleh Bahagian CCA sekolah berkenaan telah menyaksikan perbarisan seramai 315 orang murid yang diketuai oleh murid-murid Tahun 6 dan seterusnya membentuk angka 39 sebagai tanda memperingati sambutan Hari Kebangsaan kali ke-39.
Selain itu, acara turut dimeriahkan dengan aktiviti mewarna logo dan melukis poster Hari Kebangsaan yang berlangsung di bilik darjah masing-masing.
Dengan adanya acara berkenaan, ia diharap akan dapat memupuk semangat cinta kepada tanah air dalam jati diri warga sekolah sekali gus meningkatkan lagi kesungguhan dan ketekunan warga sekolah dalam pengajaran dan pembelajaran mereka bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035.