Warga S’pura pertama dipenjara biayai keganasan

SINGAPURA, 18 OKT – Seorang lelaki warga Singapura menjadi rakyat pertama di negara dipenjarakan kerana membiayai keganasan selepas dia disabit bersalah menghantar wang kepada seorang ulama Islam radikal.

Terdapat banyak penangkapan di Singapura berkaitan sokongan terhadap fahaman pelampau Islam, dan pemimpin negara kota itu telah mengingatkan ia merupakan sasaran utama untuk serangan.

Ahmed Hussein Abdul Kadir Sheik Uduman dipenjara dua setengah tahun kerana menderma Sg$1,146 kepada Sheikh Abdullah al-Faisal, ulama Islam yang menetap di Jamaica, menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh AFP hari ini.

Hussein berhubung dengan Faisal selepas melihat video di laman webnya dan YouTube di mana dia menyeru sokongan diberikan kepada kumpulan Islamic State (IS).

Hussein, yang dijatuhi hukuman penjara semalam, ditahan pada Julai 2018 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara Singapura, yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan sehingga dua tahun.

Dia telah diradikalkan dan “mahu melancarkan keganasan di Syria sebagai menyokong negara Islam di Iraq dan Syria,” kata dokumen mahkamah. – AFP