BEIRUT, 6 Feb – Warganegara Syria mula meninggalkan Beirut semalam dalam perjalanan menuju Amerika Syarikat selepas mahkamah AS membuat sekatan sementara ke atas tegahan perjalanan Presiden Donald Trump yang mencetuskan perbalahan.
Arahan eksekutif Trump pada 27 Januari lalu menghalang kemasukan ke AS, orang pelarian dan pelancong dari tujuh buah negara terutamanya negara Islam, termasuklah Syria.
Namun selepas hakim persekutuan pada Jumaat lalu buat sementara waktu menyekat keputusan itu, warganegara-warganegara dari negara-negara yang disasarkan itu mula bersiap sedia sekali lagi untuk membuat perjalanan.
“Bermula semalam, penerbangan-penerbangan yang beroperasi di luar lapangan terbang mula membenarkan warganegara-warganegara dari tujuh buah negara untuk pergi ke AS,” lapor Agensi Berita Kebangsaan, Lubnan.
“Sebilangan keluarga Syria dengan dokumen rasmi yang membolehkan mereka memasuki AS, telah meninggalkan Beirut, menuju AS melalui negara-negara Arab dan Eropah,” menurut agensi kerajaan.

Tidak ada penerbangan langsung antara Lubnan dan AS.
Sumber dari Penerbangan Timur Tengah, Lubnan mengesahkan kepada AFP semalam bahawa warga-warga dari tujuh negara yang ditegah akan dibenarkan menaiki penerbangan mereka dari Beirut ke negara transit.
Arahan eksekutif AS telah menegah warganegara dari Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman dari memasuki AS selama 90 hari.
Orang pelarian ditegah dari memasuki negara itu selama 120 hari, melainkan orang pelarian Syria yang ditegah bagi tempoh tidak pasti.
Pengetatan itu mengakibatkan keadaan kelam kabut di lapangan terbang di seluruh Amerika dan di luar Amerika, yang mengakibatkan para pelancong yang hendak ke AS dalam keadaan terawang-awang.
Hakim James Robert dari mahkamah daerah persekutuan di Seattle Jumaat lalu telah mengarahkan penangguhan di seluruh negara arahan presiden sementara menantikan kajian semula undang-undang yang lebih meluas.
Hakim-hakim persekutuan di negeri-negara lain, termasuklah California dan New York, juga mengikut sama.
Jabatan Negara pada Sabtu lalu memberitahu para pemegang visa dari ketujuh-tujuh negara itu bahawa mereka boleh membuat perjalanan selagi dokumen mereka ‘tidak dibatalkan secara fizikal. – AFP