Warga UTB selami akhlak Rasulullah SAW

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan UTB

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 DIS – Seramai 63 warga Universiti Teknologi Brunei (UTB) menyertai Program Qiamullail bertemakan Perfect Akhlak: Rasulullah SAW yang diadakan secara maya melalui platform Zoom baru-baru ini.

Program dikendalikan oleh Kelab Quranic Beats (Qbeats) UTB itu disertai para pegawai, perwakilan majlis pelajar dan mahasiswa serta mahasiswi universiti.

Ia dilaksanakan bagi memberikan kesempatan kepada warga UTB menjalankan ibadah Qiamullail walaupun dalam keadaan wabak pada masa terkini, di mana masjid-masjid dan balai ibadat belum terbuka untuk melaksanakan program seperti ini.

Ia turut diisikan dengan ceramah dengan tema sama yang disampaikan oleh Penolong Kaunselor Penjara, Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali.

Ceramah menyentuh cara berinteraksi Rasulullah yang selalu tersenyum sehingga para sahabat menyatakan bahawa mereka tidak pernah melihat seseorang yang paling banyak tersenyum selain Baginda Rasulullah.

Awang Fariszal ketika menyampaikan ceramah yang menyentuh mengenai akhlak terpuji Rasulullah SAW.
Antara yang menyertai Program Qiamullail secara maya berkenaan.

“Baginda juga ramah dan selalu menghormati orang lain. Baginda juga bercakap dengan perlahan dan mudah difahami, dan sentiasa berketerampilan yang baik dan kemas”.

Selain itu penceramah juga membincangkan tentang empat sifat yang ada pada Rasulullah SAW yang wajib diketahui, iaitu sifat siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan), dan Ffatonah (bijaksana).

Keempat-empat sifat ini ada pada Rasulullah SAW apabila berurusan dengan orang lain demi mencapai kedamaian dan kesejahteraan.

Walau bagaimanapun, ada juga akhlak lain yang perlu diketahui, seperti selalu menepati waktu dan patuh pada janji.

Beliau turut menyentuh cara Rasulullah SAW menghadapi situasi yang tertekan seperti tidak berburuk sangka pada Allah SWT, yakin pada pertolongan Allah dan ikhtiarkan iaitu cari strategi untuk menangani masalah tersebut seperti mana sejarah kehidupan baginda dalam menjalani dakwah pada zaman dahulu yang penuh dengan cabaran.

Program yang bermula pada pukul 4:30 pagi itu menyaksikan para peserta telah bangun untuk mendirikan sembahyang sunat di kediaman masing-masing, termasuk sembahyang sunat Tahajud dan sembahyang sunat lainnya, sementara menunggu azan fardu Subuh berkumandang.

Tazkirah fajar bermula pada pukul 5:45 pagi dan dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Program Virtual Qiamullail Awang Muhammad Haziq Nasyran bin Latif, seterusnya bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awang Muhammad Hazman bin Haji Awang Piut,
Program turut dimeriahkan dengan bacaan tilawah daripada Surah Al-Ahzab, ayat yang ke-21, yang dibacakan oleh Awang Ahmad Syafiq bin Dr Haji Roslan manakala
terjemahannya dibacakan oleh Awang Muhammad Zawir Firdaus bin Zamrani.

Ia diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada Awang Fariszal serta sesi bergambar ramai bersama para peserta dan doa penutup.

Qbeats berharap melalui program itu, para peserta meraih manfaat.