Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Pertubuhan WARGAMAS hari ini telah mengadakan majlis sambutan hari ulang tahun penubuhannya yang ke-3 dengan tema ‘WARGAMAS Teguh Perpaduan’ yang berlangsung di salah sebuah hotel di Kampung Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Yang Di-Pertua Pertubuhan WARGAMAS, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don dalam ucapannya selaku pengerusi majlis antara lain mengongsikan mengenai beberapa acara yang telah disusun dan akan diadakan semasa Hari Terbuka Ibu Pejabat Pertubuhan
WARGAMAS (IPPW) pada 29 hingga 31 Ogos depan bersempena ulang tahun penubuhannya.
Menurut beliau, acara itu nanti akan menyaksikan pelbagai aktiviti jualan selain ceramah motivasi, ceramah keagamaan, riadah 100,000 langkah warga emas dan hari santai.
Kemuncak acara pada majlis sambutan tersebut ialah memotong kek dan pulut kuning yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Turut menyerikan majlis adalah persembahan Selawat Badriyah, puisi (sajak dan pantun), dan nyanyian oleh warga pertubuhan. Di samping itu, pameran kraftangan turut diadakan.