WARGAMAS Terus proaktif realisasi Wawasan 2035

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Sebagai salah satu lima negara teratas ASEAN yang menuju ke arah penduduk yang semakin tua (ageing population), tidak dapat dinafikan warga emas sama sekali tidak akan hilang daripada usaha bersama untuk menentukan kesejahteraan yang berkekalan di Negara Brunei Darussalam.

“Ini adalah cerminan warga emas sebagai insan yang kaya pengalaman dan khazanah pengetahuan, yang berani menyumbangkan buah fikiran dan apa yang turut penting, membimbing generasi terkini dan yang akan datang.”

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Pertubuhan WARGAMAS, Berakas, hari ini.

Pelan Tindakan Warga Emas, tambahnya, telah dan akan dikemas kini untuk diselaraskan dengan strategi Kementerian Kesihatan yang menumpukan ke arah successful ageing dengan mengetengahkan institusi keluarga dalam penjagaan golongan warga emas.

Beliau menerangkan antara usaha yang dilaksanakan ialah Program Pemedulian Warga Emas yang dilaksanakan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan rakan-rakan strategik sejak 2020.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyempurnakan perasmian Ibu Pejabat Pertubuhan WARGAMAS di Berakas.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan tetamu khas menyaksikan demonstrasi sulaman.

“Setakat ini, 294 warga emas yang memerlukan di seluruh negara dipeduli melalui program ini, dan jumlah ini disasarkan untuk ditingkatkan kepada 350 warga emas yang memerlukan pemedulian,” katanya.

Menurutnya, melalui pelbagai inisiatif, program kolaborasi yang dijalankan antara lain bersama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan KKBS, di samping keahlian yang sudah mencecah sekitar 1,000 orang, Pertubuhan WARGAMAS turut membuktikan kematangannya sebagai organisasi yang proaktif, yang mampu untuk berdiri sendiri dan berdaya tahan, walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID.

Beliau menyatakan baru-baru ini, warga emas adalah antara golongan yang memberikan sokongan hebat kepada program vaksinasi COVID sehingga mencapai 100 peratus dua dos vaksin dan sehingga 31 Mac, 74 peratus dos penggalak.

“Selama ini, warga emas adalah contoh insan yang berubaya-ubaya, yang patuh dengan garis pandu kerajaan, yang sentiasa bersikap lindung-melindungi antara warga masyarakat dan yang paling hebat, bersifat murah hati dengan sumbangan kutipan derma bagi Tabung COVID.

“Dengan penyediaan ibu pejabat baharu ini, di sinilah platform terbaharu untuk terus berganding bahu dan bekerjasama bagi sama-sama mengambil peluang yang ada di samping menangani cabaran semasa termasuk dalam bidang kemasyarakatan, kesihatan dan pendidikan selaras dengan objektif Pelan Tindakan Warga Emas dan yang lebih besar, Wawasan Brunei 2035 yang perlu kita terajui bersama,” ujarnya.

Beliau juga menyeru untuk terus bergerak ke arah 4B iaitu Bersatu, Bersama, Bekerjasama dan Berdoa agar warga emas di seluruh negara akan dapat melangkah lebih jauh ke hadapan dan kekal sebagai golongan yang aktif (successful ageing).