Warganegara asing tidak dibenarkan masuk

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Kerajaan Negara Brunei Darussalam masih tidak membenarkan orang asing masuk ke negara ini kecuali mereka yang diberikan kebenaran.

Ini termasuklah warganegara asing yang membawa keluarga, suami atau isteri mereka balik berkumpul di Brunei atau pun pekerja-pekerja ekspatriat sama ada dari kerajaan ataupun bukan kerajaan yang diperlukan balik bekerja di sini.

Oleh itu, pelancong-pelancong sudah setentunya tidak dibenarkan buat masa ini, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar. Yang Berhormat Dato menekankan perkara berkenaan bagi menjawab persoalan mengenai warga asing yang tiba di Brunei Darussalam yang dikehendaki untuk menanggung sendiri kos ujian makmal COVID-19 yang dibangkitkan semasa sesi soal jawab dalam Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Apa jua keperluan syarikat-syarikat tempatan, misalnya jurutera (warga asing), mereka masih diperlukan menjalani kuarantin dan membiayai kos penginapan iaitu bagi selama 15 hari iaitu 14 hari untuk pengasingan diri memandangkan hari pertama pengasingan dikirakan kosong, dan juga kos ujian ‘swabbing’,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.