Waris Korean Air dituduh mendera

SEOUL, 21 Feb – Suami waris Korean Air yang terkenal dengan insiden kacang mencetuskan kegemparan di Korea Selatan selepas menuduh isterinya mendera beliau dan anak mereka, menurut pihak polis hari ini.

Cho Hyun-ah menjadi tumpuan antarabangsa pada 2014 apabila beliau berang dengan cara beliau dilayan dalam penerbangan kelas pertama sebelum berlepas dari New York.

Beliau kemudiannya dihukum penjara selama setahun kerana menjejaskan penerbangan selepas mengarahkan pesawat Korea Air kembali mendarat supaya kru pesawat yang terlibat dikeluarkan.

Kru pesawat bersama rakannya, menyajikan kacang makadamia di dalam beg, bukan di dalam mangkuk sekali gus menimbulkan kemarahan Cho dan mengarahkan mereka untuk berlutut dan meminta maaf.

Beliau kemudiannya membuat rayuan dan dihukum penjara selama lima bulan.

Suaminya, yang dikenali sebagai Park, berkata Cho telah mendera ahli keluarganya secara fizikal dan lisan termasuk anak kembarnya yang berusia lima tahun, sejak beliau dibebaskan daripada penjara pada 2015. Beliau memfailkan tindakan mahkamah terhadap Cho, yang menafikan tuduhan itu kelmarin.

“Beliau menyamannya kerana kesalahan penderaan kanak-kanak dan menyebabkan kecederaan di bahagian badan dan beberapa bahagian yang lain,” menurut pegawai Agensi Polis Kebangsaan memberitahu kepada AFP. Park, seorang pembedah plastik dan Cho kini dalam proses penceraian.

Beliau kemudian mengongsikan gambar yang menunjukkan kecederaan yang dialaminya kepada stesen TV setempat dan mendakwa ia dilakukan oleh Cho dan berkata beliau kemudian menyerahkan gambar dan rakaman video kepada pihak polis.

Isterinya berulang kali ‘mencekik’ dan membaling tablet komputer ke arahnya dan mencederakan beliau, beritahunya kepada pihak berkuasa. – AFP

Gambar fail pada 22 Mei 2015 menunjukkan Cho Hyun-Ah (tengah) dikelilingi para wartawan semasa berada di mahkamah Seoul. Beliau sekali lagi menjadi tumpuan selepas suaminya menuduh beliau melakukan penderaan. – AFP