Waris Marcos bertanding p’raya presiden

MANILA, 5 OKT – Anak lelaki bekas presiden yang mempunyai nama sama, Ferdinand Marcos mengatakan dia akan bertanding pilihan raya presiden dalam pilihan raya 2022, ketika keluarga kontroversi itu berusaha menghidupkan semula legasi politik mereka.

Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr – yang mempertahankan perang dadah kontroversi Presiden Rodrigo Duterte dan menyokong hukuman mati bagi penyeludup dadah – mengisytiharkan pencalonannya dalam video disiarkan di Facebook.

“Saya akan memastikan kepimpinan menyatukan kembali negara kita,” kata waris berusia 64 tahun itu, menyertai sejumlah calon yang bersaing menggantikan Duterte.

“Marilah kita menyatukan kembali rakyat Filipina di negara ini, berdepan krisis dan cabaran masa depan bersama.”

Dia pernah gagal dalam pertandingan merebut jawatan tinggi pentadbiran kerajaan dalam persaingan naib presiden pada 2016, kalah tipis kepada Leni Robredo.

Kalah pilihan raya itu merupakan satu tamparan buat keluarga Marcos yang berada dalam buangan di Amerika Syarikat selepas kejatuhan memalukan keluarga itu dalam 1986.

Marcos dan isterinya, Imelda dituduh menghimpunkan kekayaan melalui rasuah semasa masih berkuasa.

Marcos Jr berada di tempat kedua di belakang anak perempuan Duterte, Sara dalam satu tinjauan PulseAsia Research dalam kalangan pengundi bagi presiden, meskipun Sara menafikan dia akan bertanding.

Petinju unggul, Manny Pacquaio dan datuk bandar selebriti, Francisco Domagoso turut mengesahkan mereka akan bertanding. – AFP

Gambar fail 2018 menunjukkan Senator Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr bercakap dengan wartawan di hadapan mahkamah di Manila. Dia hari ini mengumumkan bakal bertanding dalam pilihan raya presiden tahun depan. – AP