Waris ‘Pak Cik Udin’ diminta hubungi Hospital Kunak

KUNAK, 13 Sept – Hospital Kunak  meminta orang ramai yang mengenali keluarga atau waris seorang warga emas yang dipanggil ‘Pak cik Udin’ agar tampil  menyalurkan maklumat bagi membolehkan lelaki itu kembali ke pangkuan keluarganya.

Pegawai Perubatan Hospital Kunak Dr Addiemohamad Pariansha Pandalat berkata lelaki berkenaan yang berusia dalam lingku gan 50an dirawat di hospital itu sejak lapan bulan lalu.

“Dia dimasukkan ke hospital ini pada 2 Jan lalu dan ditempatkan di wad lelaki  bagi proses pemulihan  selepas dirawat di Hospital Tawau kerana mengalami keretakan tulang di pergelangan kaki kanan  selain  gangguan mental yang terkawal dengan memakan ubat,” katanya kepada Bernama, di sini.

Hospital Kunak meminta orang ramai yang mengenali keluarga atau waris seorang warga emas yang dipanggil ‘Pak cik Udin’ agar tampil menyalurkan maklumat bagi membolehkan lelaki itu kembali ke pangkuan keluarganya. – Bernama

Menurutnya pihak hospital gagal mendapatkan maklumat keluarga lelaki itu yang tidak mempunyai  sebarang dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun katanya, mereka difahamkan sebelum ini Pak cik Udin sering berada di tapak bekas bangunan Milimewa di sini. “Sepanjang tempoh lapan bulan di Hospital Kunak, Pak cik Udin tidak pernah bertindak agresif dan sentiasa mendengar arahan, bagaimanapun sokongan keluarga sendiri masih diperlukan dalam proses pemulihan kesihatan,” katanya lagi. – Bernama