Waris Red Bull didakwa semula

BANGKOK, 18 SEPT – Waris bilionair Red Bull akan didakwa kerana kecuaian memandu dan menggunakan kokain dalam satu kes langgar lari mengakibatkan kematian, peguam negara Thailand mengatakan hari ini, susulan kemarahan awam selepas tuduhan ke atasnya digugurkan pada Julai.

Vorayuth ‘Boss’ Yoovidhya dituduh melanggar seorang pegawai polis pada 2012 dengan kereta Ferrarinya mengakibatkan kematian polis itu, di Bangkok, satu kes yang berlarutan selama bertahun-tahun. Pada Julai, Pejabat Peguam Negara Thailand tiba-tiba mengugurkan tuduhan terhadapnya meskipun masih mempunyai tempoh undang-undang selama tujuh tahun. Langkah itu mencetuskan kemarahan rakyat Thai yang melihatnya sebagai satu lagi contoh kekebalan orang-orang elit Thai – memberi tekanan kepada pihak berkuasa menyiasat semula kes itu.

Susulan siasatan baharu dari pejabat peguam negara, ia mengumumkan hari ini bahawa ia akan mendakwa Vorayuth.

“Bukti penting baharu muncul dalam kes ini yang boleh digunakan untuk mendakwa suspek, Vorayuth ‘Boss’ Yoovidhya, di bawah tuduhan memandu cuai yang mengakibatkan kematian. Suspek juga akan didakwa mengguna kokain,” menurut kenyataan pejabat peguam negara. – AFP