WARISAN anjur mesyuarat pertama

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Persatuan Warisan Kedayan Jerudong (WARISAN) yang baharu sahaja diluluskan penubuhannya telah mengadakan mesyuarat agung pertamanya hari ini di Dewan Sekolah Rendah Jerudong.

Perasmian mesyuarat telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis iaitu Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Ketua Bahagian Institusi Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Pejabat Daerah Brunei dan Muara, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz dengan memotong reben dan diikuti dengan tiupan ‘Dukut’, sejenis alat tradisi masyarakat Kedayan yang digunakan untuk melagau (memanggil) burung punai.

Serentak dengan itu juga penarikan ‘Talinting Gautak’ sejenis alat yang diperbuat daripada buluh untuk menghalau burung pipit dan binatang-binatang lain ketika padi sedang masak.

Terdahulu acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Haji Sahak bin Haji Mohammad, diikuti dengan ucapan Pengerusi (Proteam) Warisan, Awang Abdul Hamid bin Abas. Beliau antara lain menjelaskan tujuan penubuhan persatuan tersebut adalah untuk menyatupadukan semula masyarakat Kedayan Kampung Jerudong dan waris-waris yang telah bermastautin di daerah-daerah atau kampung lain di negara ini.

Di samping itu, katanya, masyarakat Kedayan Jerudong memang terkenal dengan cara hidup yang unik tersendiri.

Selain itu, masyarakat Kedayan Jerudong turut terkenal dengan amalan bergotong-royong, bermuafakat dan tidak camah mata dalam menangani sebarang pekerjaan dan masalah dalam kehidupan mereka seharian, dan yang paling ketara dalam kegiatan bertanam padi, ‘mengamping’, ‘menyandas gelagah’, suka duka atau majlis keramaian.

Maka untuk memartabatkan semula budaya dan nilai-nilai hidup yang sangat bermakna itu, WARISAN akan bekarih dari semasa ke semasa untuk menghidupkan kembali dan merealisasikannya supaya generasi Kedayan hari kandila dapat menikmati atau sekurang-kurangnya mengenal asal usul dan budayanya walaupun tidak semuanya.

Awang Rosdin ketika merasmikan mesyuarat agung pertama WARISAN.