Warisan kuih tradisi

KUIH-MUIH dan manisan tradisional tetap memiliki tarikan yang tersendiri. Setiap kaum di negara ini memiliki manisan dan kuih muih tradisi masing-masing yang tetap akan dicari oleh peminat setianya.

Walaupun pelbagai kuih muih moden ada, namun yang lama tetap memikat jiwa bahkan jika rajin kuih-muih tradisional ini boleh diberikan sentuhan baru untuk mencipta satu kelainan. Selamat mencuba!

Penyaram

Bahan-bahan:

250 gram tepung gandum

100 gram tepung beras

200 ml air

200 gram gula merah

50 ml gula pasir

200 ml minyak masak

Cara memasak:

Masak air bersama gula merah dan gula pasir. Tapis dan sejukkan serta ketepikan. Campur tepung gandum dan tepung beras ke dalam satu bekas. Bancuh bersama air gula tadi dan ketepikan. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tuang satu senduk adunan tadi ke dalam kuali. Gunakan api secara perlahan. Biarkan ia membentuk di dalam kuali dan kemudian terbalikkan kuih tersebut. Angkat dan toskan. Ulangi langkah hingga selesai. Sedia untuk dinikmati panas.

Tok Aji Serban

Bahan A (Bahagian bawah):

2 cawan beras pulut yang dibersihkan dan ditos

250 ml santan cair

Sedikit garam

Bahan B (Bahagian atas):

3 biji telur

500 ml santan pekat

150 gram gula merah

150 gram gula pasir

Bahan lain:

Air untuk mengukus

Cara memasak:

Untuk membuat bahagian pulut, masukkan bahan A iaitu beras pulut bersama sedikit santan cair dan secubit garam. Lebihkan santan pada anggaran ½ inci daripada paras pulut. Tanak dengan menggunakan api perlahan sehingga masak. Angkat. Tuang pulut ke dalam loyang yang bersaiz enam inci. Tekan-tekan supaya padat dan ketepikan. Untuk membuat bahagian atas, kisar semua bahan B dan tuang di atas adunan pulut tadi. Kukus selama satu jam. Angkat dan biarkan sehingga agak sejuk sebelum dipotong dan ia sedia untuk dihidangkan.

Tang Yuan

Bahan-bahan:

300 gram tepung pulut

Air secukupnya

40 gram gula halus

Sedikit pewarna hijau dan pink

Bahan air gula:

200 gram gula pasir

100 ml air

1 helai daun pandan

Cara memasak:

Bancuh tepung pulut bersama gula halus sehingga membentuk adunan. Bahagikan kepada beberapa bahagian mengikut warna yang dikehendaki. Bentukkan ia menjadi bulat mengikut saiz yang diingini. Ketepikan. Didih air di dalam periuk. Masukkan bebola tepung tadi satu persatu. Apabila timbul, angkat dan tos. Ulangi langkah hingga selesai dan ketepikan. Untuk membuat air gula, didihkan air, daun pandan dan masukkan gula pasir. Masak sehingga gula cair. Angkat dan sejukkan. Masukkan bebola ke dalam mangkuk dan tuang air gula. Sedia untuk dinikmati.