Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Jika tiada yang lama, tiada yang baharu, begitulah keistimewaan hasil sentuhan orang tua-tua kita dahulu kala yang pastinya memiliki kepelbagai-an dan keunikan tersendiri untuk menjadikan seni kraf tangan tradisional suatu warisan budaya yang seharusnya dipertahankan oleh masyarakat di negara ini.
Menyentuh mengenai kaedah tradisional pembuatan seni kraf tangan anyaman, Media Permata baru-baru ini menemui salah seorang pengusaha warga emas yang hanya ingin dikenali dengan panggilan Nini Atun. Beliau menjelaskan kesemua produk barangan kraf tangan anyamannya diperoleh daripada sumber alam semula jadi seperti buluh, mengkuang, rotan dan daun bamban.
Menurutnya, bahan-bahan asas tersebut terdapat di kawasan hutan belukar di sekitar Kampung Ukong dan juga berdekatan dengan tebing-tebing sungai.
Berbicara mengenai proses pembuatannya, Nini Atun menjelaskan bahawa bagi bahan asas daripada buluh, ia akan dipotong mengikut bukunya, kemudian dikikis untuk membuang lapisan kulit luar.
“Buluh-buluh ini kemudiannya dijemur di bawah matahari yang terik selama beberapa hari.
Selepas itu, kulit buluh disiat dari batangnya mengikut anggaran saiz anyaman yang ingin direka. Kulit buluh itu seterusnya diraut halus dan dijemur semula sehingga kering.
Kemudian barulah boleh membentuk rekaan anyaman yang menarik berdasarkan pelbagai bentuk dan saiz seperti, nyiru, bakul, siraung, tikar, beg dan sebagainya,” ujarnya.
Insan yang sudah berkecimpung dalam dunia kraf tangan anyaman ini sejak tahun 1989 turut mengongsikan bahawa melakukan aktiviti seni berkenaan sebenarnya mengajar seseorang erti kesabaran dan ketitihan agar lebih sempurna dari segi hasil dan kualiti produk anyamannya.