YANGON – Han Myint Mo melakukan latihan tradisi juggling Myanmar dengan menendang bola logam berwarna emas ke atas sambil melakukan pirouettes lalu menangkapnya pada sebilah pisau yang digigitnya, bagi mengekalkan seni itu yang kini di ambang kepupusan.
Datuknya Ohn Myint, merangkap jurulatihnya memerhati di ruang tamu mereka di hab komersial Yangon, sambil melemparkan kata-kata semangat kepadanya ketika melakukan juggling menggunakan bat.
Pada kemuncak persembahan, Han Myint Mo melakukan juggling sambil mengimbangi diri di atas jongkang-jongket mini, sementara memutarkan gelung (hula hoop) di pinggangnya dan bola emas di atas kepalanya.
“Ia membuatkan saya gembira dan kuat,” kata remaja berusia 12 tahun itu selepas rutin yang dilakukannya selama tiga jam sehari.
Bentuk seni itu dianggap bermula pada awal abad ke-19 apabila penghibur di istana diraja mula melakukan juggling bola yang diperbuat daripada kaca berwarna yang ditiup dikenali sebagai ‘Ywal’.
Tetapi tidak seperti juggling konvensional, pemain menggerakkan bola bersaiz limau gedang (grapefruit) di sekeliling badan mereka hanya menggunakan kaki, lutut, bahu dan siku.
Ohn Myint mula berlatih dengan Ywal pada usia 40an, melibatkan diri dalam meditasi tinggi yang diperlukan, sebagai cara untuk memulihkan pergerakan anggota badan selepas dia diserang angin ahmar.
“Kami tidak boleh bermain apabila kami takut, gugup atau marah,” kata lelaki berusia 71 tahun itu selepas membuat demonstrasi sendiri.
“Fikiran kita harus jelas seperti kaca.”
Disiplin yang diperlukan untuk menguasai helah menyebabkan ramai orang tidak dapat mempelajari seni itu, termasuk tiga orang anaknya. Dia berputus asa untuk menyampaikan ilmunya sehingga cucu perempuannya, Han Myint Mo, memintanya untuk mengajarnya selepas melihat dia berlatih.
‘Kaki yang lincah’
Bagi generasi terdahulu, kemahiran dengan Ywal boleh menjadi tiket untuk mengembara dan kemasyhuran, dengan para juggler memukau orang ramai di Eropah dan Amerika Utara.
“Dia mula melakukan juggling menggunakan dua bola kaca, seperti yang kita gantung pada pokok Krismas dengan cara yang akan memalukan juggler yang paling pakar, “ lapor sebuah akhbar San Francisco mengenai sebuah pertunjukan pada tahun 1899.
“Tetapi semua kerjanya dalam membaling, menangkap dan melambung dilakukan dengan kaki yang lincah itu.”
Untuk persembahan mereka di pusat membeli-belah dan sekolah di sekitar Yangon, Ohn Myint dan Han Myint Mo menambah lebih banyak helah juggling konvensional yang menggunakan bat dan gelung untuk menarik orang ramai.
Persembahan mereka menjangkau khalayak yang jauh lebih besar dalam talian, di mana satu video latihan duo itu telah ditonton lebih daripada 3 juta kali.
“Apabila saya melihat video latihan saya popular, saya sangat gembira,” kata Han Myint Mo.
“Kadang-kadang apabila saya melakukan beberapa helah yang sukar, saya gagal berkali-kali.
Kemudian saya berasa tertekan dan bertengkar dengan datuk,” katanya.
“Tetapi dia meyakinkan saya, kami cuba lagi bersama-sama dan kami berjaya.”
Ohn Myint juga sedang melatih cucu kepada seorang kawannya, yang mendapat inspirasi selepas menontonnya berlatih.
“Saya sangat gembira melihat generasi saya akan datang bermain Ywal,” katanya ketika kedua-dua gadis itu berlatih di ruang tamu.
Han Myint Mo berkata dia gembira untuk membawa harapannya.
“Saya mahu menjadi pemain Ywal yang cemerlang seperti datuk saya pada masa hadapan. Saya mahu cuba menjadi lebih baik daripada dia,” katanya. – AFP