Warisi teknik pembuatan kuih tradisional

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 20 SEPT – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan pengetahuan mengenai tradisi dan budaya negara, terutamanya berkaitan pembuatan kuih tradisional dikekalkan dan diwarisi generasi seterusnya, Bahagian Pusat Belia, Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait telah mengadakan Bengkel Pembuatan Kuih Tradisional bagi belia-belia daerah ini.

Dianjurkan dengan kerjasama Persatuan PERTIWI di Dewan Mini Pusat Belia, Kuala Belait, hari ini, bengkel berkenaan dihadiri oleh lebih 40 orang belia yang bukan sahaja mendaftar untuk mempelajari lebih mendalam mengenai sejarah dan warisan kuih tradisi Melayu tetapi juga resipi pembuatannya.

Di samping itu, ia juga menjadi platform bagi belia mengetengahkan warisan budaya Brunei kerana kuih tradisional menggambarkan keunikan produk tempatan yang boleh dipromosikan ke seluruh dunia.

Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyaksikan bengkel berkenaan ialah Ketua Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait, Awang Mohd Shah Johan bin Mohd Shari yang diiring Pengerusi Persatuan PERTIWI, Dayang Fatimah binti Tanji.

Semasa bengkel itu, para peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang diberi nama berdasarkan kuih tertentu, di mana mereka belajar membuat kuih tradisional daripada awal proses lagi.

Pada penghujung bengkel, tetamu kehormat menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.

Para belia belajar membuat kelupis semasa bengkel tersebut.