‘Warna apa bisai?’ – Panduan memilih warna lure

Oleh Raz AS

Sebagai seorang pemancing yang baru berjinak-jinak dengan penggunaan lure atau umpan palsu, tentu anda pernah terfikir atau mempersoalkan tentang pemilihan warna lure yang mana hendak dipakai.

Sehingga ke hari ini persoalan mengenai adakah ikan dapat melihat warna masih belum terjawab sepenuhnya. Sukar bagi saintis untuk memastikan dan mempelajari sepenuhnya apakah yang dilihat oleh mata ikan dan imej yang masuk ke otaknya.

Bagaimanapun beberapa kajian yang telah dijalankan oleh saintis menunjukkan bahawa sensor penglihatan ikan berbeza di antara spesies dan juga lokasinya. Seperti contoh, terdapat kajian yang mengatakan bahawa spesies ikan yang menghuni kawasan pesisir (inshore) mempunyai kebolehan melihat warna yang baik, manakala spesies ikan luar pantai (offshore) hanya melihat warna yang terhad selain warna hitam dan putih.

Namun saintis berpendapat kebanyakan ikan boleh melihat warna sama seperti manusia. Kajian mendedahkan bahawa spesies ikan yang galak mencari makan pada siang hari lebih sensitif terhadap warna berbanding spesies yang menjadi pemburu malam.

Saintis juga mengatakan bahawa ikan mempunyai mata yang rabun jauh. Meskipun begitu data yang diperoleh adalah daripada kajian yang dijalankan terhadap ikan dan mata fizikalnya, retina dan kanta. Topik mengenai kebolehan melihat ikan adalah sangat rumit dan sukar untuk menetapkan bagaimana faktor kondisi air dan cahaya akan memberi kesan terhadap deria penglihatan sang ikan kerana ujian makmal mungkin sahaja berbeza dibandingkan dengan ketika ikan berada di habitat asalnya seperti di laut dan sungai yang mempunyai kondisi air dan pencahayaan yang berubah-ubah.

Lure direka dalam pelbagai bentuk dan warna, sesetengahnya diwarnakan dengan warna-warna tidak masuk akal yang langsung tidak menyerupai mana-mana makhluk hidup. – Agensi
Berhadapan dengan pelbagai pilihan warna bagi lure yang sama boleh mengelirukan kepala pemancing yang baru ingin berjinak-jinak dengan penggunaannya. – Agensi
Kajian menunjukkan lure berwarna gelap seperti hitam, ungu tua dan biru tua menghasilkan bebayang (silhouette) kontras dan lebih kelihatan di dalam air keruh berbanding warna-warna ‘terang’ seperti oren dan merah. – Agensi

Pemilihan warna lure merupakan dilema yang menghantui kebanyakan pemancing. Sering kali kedengaran soalan dilemparkan oleh pemancing terutama yang baru ditujukan kepada pemancing-pemancing yang lebih otai, “warna apa bisai?.”

Dengan terdapat banyak pilihan warna lure yang boleh didapati di pasaran, tentu sahaja ia boleh memeningkan kepala seseorang pemancing itu untuk membuat keputusan menentukan lure warna apa yang mereka sepatutnya dapatkan. Tambahan lagi ada lure yang dilukis dan diwarnakan dengan warna-warna tidak masuk akal yang langsung tidak menyerupai mana-mana makhluk hidup.

Hal ini juga pernah dialami sendiri oleh penulis satu ketika dahulu semasa baru ingin berjinak-jinak dengan arena memancing menggunakan lure. Meski sudah mempunyai idea utama mengenai jenis dan bentuk lure yang ingin dibeli, namun setelah melihat rak yang dipenuhi lure yang sama dengan pelbagai jenis warna yang berbeza membuatkan penulis terpaku lama tidak bergerak-gerak, macam pancang Pulau Sibungur, keliru tidak tahu yang mana satu ingin dibeli. Maklumlah waktu itu penulis masih bersekolah menengah bawah jadi terasa karit sedikit hendak membelanjakan wang belanja sekolah yang dikumpulkan setiap hari dek takut rugi kerana tersalah pilih.

Oleh yang demikian bagi membantu pemancing-pemancing yang baru berjinak-jinak dengan lure dan mengurangkan pening kepala mereka, di sini penulis akan mengongsi beberapa tip mengenai pemilihan warna lure untuk dijadikan panduan dalam membuat keputusan.

Pertama sekali adalah pilihan lure untuk kondisi padang pancing yang mempunyai air yang jernih. Untuk kawasan perairan yang jernih, dalam membuat pilihan selalunya penulis akan menggunakan lure yang mempunyai warna natural.

Ini bermakna lure yang dipilih mempunyai warna yang menyerupai anak ikan, krustasea atau mangsa yang dijadikan diet utama ikan yang terdapat di sana seperti putih, kelabu, perak dan lain-lain warna natural atau semi-natural seperti green pumpkin yang juga menjadi pilihan kegemaran penulis. Meskipun begitu warna-warna terang juga boleh dijadikan sebagai alternatif sekiranya ikan tidak memberi sambutan.

Kedua, kondisi air yang keruh. Di kawasan yang mempunyai perairan yang keruh seperti warna teh o atau teh tarik, penulis lebih gemar menggunakan lure yang mempunyai warna yang gelap. Mungkin kedengaran aneh kerana sesetengah pemancing otai mengatakan air keruh patut dipadankan dengan penggunaan lure yang mempunyai warna yang menjolok mata seperti oren dan merah agar ia mudah dilihat oleh ikan.

Namun begitu, percaya atau tidak, kajian telah menunjukkan bahawa lure berwarna gelap seperti hitam, ungu tua dan biru tua lebih kelihatan di dalam air keruh berbanding warna-warna ‘terang’ seperti oren dan merah yang paling cepat hilang (filtered-out) daripada pandangan kurang dari setengah kaki di dalam air. Warna-warna gelap akan menghasilkan bebayang (silhouette) kontras menjadikannya mudah kelihatan. Walau bagaimanapun, kadang-kadang penulis akan beralih menggunakan warna chartreuse dan flourescent sebagai alternatif.

Ketiga, kondisi cahaya terang. Semasa matahari tegak di atas kepala, penulis lebih gemar menggunakan lure berwarna metalik atau berkilat seperti krom, emas metalik atau mempunyai glitter di kawasan perairan yang cetek atau untuk lure permukaan dan selaman cetek. Warna-warna seperti ini akan menghasilkan kesan pantulan cahaya yang menyerupai anak-anak ikan yang bermain di kawasan permukaan air.

Akhir sekali, kondisi cahaya rendah atau kelam. Pada waktu kondisi cahaya rendah seperti pada waktu malam, selalunya pemilihan warna lure adalah sama seperti lure yang penulis gunakan semasa air keruh iaitu lure berwarna gelap. Lure berwarna gelap akan menghasilkan bebayang kontras di bawah cahaya bulan atau lampu jika dilihat dari bawah. Akan tetapi penggunaan lure yang mempunyai warna glow in the dark dan berwarna solid juga boleh membuahkan hasil. Sebolehnya elakkan daripada menggunakan lure yang mempunyai badan lutsinar (transparent) kerana ia sukar untuk dilihat.

Sekian adalah beberapa tip mengenai pemilihan warna lure untuk digunakan mengikut kondisi air dan cahaya yang berbeza. Tetapi perlu diambil perhatian bahawa warna hanyalah salah satu daripada faktor yang dapat menarik perhatian ikan, bukan seratus peratus.

Seperti yang dijelaskan awal tadi persoalan mengenai kaitan ikan dan warna masih belum terjawab sepenuhnya kerana berkemungkinan warna yang kita lihat berbeza dalam pandangan mata ikan. Semua ini jelas terbukti apabila kadang-kadang ikan masih saja menerkam lure yang dilontar meski pilihan warnanya dianggap ‘tidak kena waktunya’.

Mungkin sahaja sesetengah spesies ikan lebih bergantung pada deria penglihatan dan tertarik pada satu-satu jenis warna atau pantulan cahaya dan sesetengah spesies lagi lebih bergantung pada deria bau dan deria mengesan bunyi dan getaran untuk memburu mangsanya.

Artikel ini belum mengambil kira faktor-faktor lain seperti perubahan yang terjadi pada warna mengikut kedalaman air kerana saringan cahaya, Insya-Allah akan diterangkan dalam keluaran-keluaran seterusnya, serta kawasan yang menerima tekanan tinggi daripada aktiviti memancing di mana ikan-ikannya selalunya akan lebih berhati-hati dan memilih.

Dalam hal ini nasihat penulis kepada pemancing-pemancing yang baru berjinak-jinak dengan penggunaan lure adalah untuk tidak membazirkan wang dengan membeli satu-satu lure dalam setiap jenis warna yang ada kerana tujuan utama syarikat-syarikat pembuat lure yang di pasaran adalah untuk ‘memancing si pemancing’. Kesilapan yang sering dilakukan oleh ramai pemancing baru.

Jadi untuk menjawab persoalan mengenai “warna apa bisai?”, jika penulis disuruh membuat pilihan warna, penulis hanya akan memilih tiga jenis warna iaitu warna gelap seperti hitam atau biru tua untuk digunakan pada waktu malam dan air keruh; warna natural seperti putih, kelabu atau yang menyerupai anak ikan dan krustasea pada waktu siang dan air jernih dan warna chartreuse atau flourescent sebagai pilihan alternatif.