WALAUPUN gaya konsep industri dalam hiasan dalaman rumah mungkin akan ditolak bulat-bulat oleh sesetengah orang yang menganggap ia agak janggal, keterlaluan dan seakan-akan sentuhan ‘tidak siap.’
Namun bagi sesetengah yang lain khususnya yang tinggal di bandar dan membesar dalam gaya serba moden menggangap konsep rekaan ini sesuatu yang menarik dan berani.
Malah gaya atau konsep industri biasanya menggunakan warna monokromatik dan menjelmakan sisi maskulin dan ‘keras’ berdasarkan penggunaan material seperti logam, kayu dan bata yang sengaja ditampilkan untuk menunjukkan karakternya.
Material yang digunakan juga ada kalanya daripada bahan terbuang atau kitar semula dan bahan industri termasuk kaca, besi, aluminium, paip dan getah yang diolah sedemikian rupa hingga boleh dijadikan elemen hiasan menarik.
Dinding dengan struktur batu-bata saja tanpa kemasan, tiang, paip saluran elektrik dan saluran air juga dibiarkan melintang bebas pada bahagian siling hingga ada sesetengah antara kita berasa tidak selesa.

Ada yang merasakan seolah-olah berada di ruang yang belum selesai kerja pembinaannya. Namun itulah hakikatnya dekorasi berkonsepkan industri. Asalnya dekorasi itu menjadi pilihan untuk reka bentuk kafe, restoran, ruang komersial dan pejabat.
Namun lama-kelamaan penerimaannya dilihat semakin mendapat sambutan hingga sentuhan ini mula menular untuk dijadikan tema hiasan pada kediaman.
Tidak ketinggalan, generasi muda hari ini dilihat cenderung untuk memilih gaya industri yang sengaja mengetengahkan rangka bangunan dan memerlukan sedikit sentuhan kreatif.
Rata-rata yang memilih konsep ini selalunya mereka yang gemar bertukang dan punya kemahiran. Ini kerana jika anda memilih konsep ini, ada kalanya sebahagian sentuhan dekorasinya perlu anda lakukan sendiri menggunakan bahan industri terbuang atau bahan kitar semula.
Antara yang paling ketara adalah penggunaan lantai simen biasa. Meski tampak sederhana, penerapan lantai simen polos biasa pada bahagian lantai memerlukan keterampilan khusus dan pilihan simen dari jenis yang berkualiti. Jika tidak, lantai tidak akan bertahan lama, mudah retak, bahkan pecah jika terkena hentakan perabot yang kuat.
Lantai jenis simen dipilih dalam konsep industri kerana mampu menciptakan kesan natural dan begitu sinonim dengan kesan pembuatan bangunan. Jadi bagi mereka yang memilih konsep dekorasi ini pada kediaman biasanya tidak memilih jubin mahupun marmar sebagai hiasan lantai utama.
Selain ruang lantai, bahagian dinding juga diberikan penekanan utama dengan sentuhan ‘unfinished’ atau dalam erti kata lain ia kelihatan seolah-olah sentuhan yang belum siap sepenuhnya.
Dinding ‘unfinished’ ertinya dinding dibiarkan tanpa cat atau sebarang sentuhan akhir seperti jubin atau pemasangan kertas dinding. Penataan seperti ini mampu memperkuatkan kesan industri pada sentuhan kerana hanya dilapisi simen.
Tidak hanya dinding simen, dinding dengan batu-bata juga mencerminkan tema industri yang kuat. Sama ada anda memilih batu-batu merah atau putih kedua-duanya memberi impak yang sama.
Begitu juga dengan dinding batu-bata dalam sentuhan bertemakan industri ini juga dibiarkan tanpa sentuhan akhir seperti cat dan sebagainya.
Susunan batu-bata bersama lapisan simen adalah sesuatu yang ‘diinginkan’ dalam setiap sentuhan berkonsepkan industri ini.