WARNA sering dikaitkan dengan mood seseorang. Contohnya, jika anda ingin kelihatan ceria, pemilihan warna yang terang dapat membantu anda lebih segar dan bersemangat.
Begitu juga sebaliknya. Penelitian yang dilakukan selama puluhan tahun mendapati warna memberi pengaruh yang besar terhadap persepsi dan emosi seseorang.
Seperkara yang harus diketahui oleh setiap individu adalah bahawa setiap warna melambangkan makna yang tertentu dan setentunya ia juga mempengaruhi mood yang tertentu.
Merah
Ia adalah kuasa dan mempunyai gelombang terpanjang dalam spektrum warna.
Di samping itu, warna merah juga menggalakkan tindak balas fizikal dan emosi menjadi kuat.
Dengan melihat warna merah, ia boleh meningkatkan denyutan jantung dan kadar pernafasan.
Warna ini sering digunakan dalam chromotherapy (terapi warna) sebagai rawatan untuk merangsang badan dan minda seseorang.
Kuning
Warna kuning paling sukar untuk mata dan otak seseorang mentafsir sesuatu benda.
Terlalu banyak warna kuning di persekitaran anda boleh menyebabkan seseorang itu merasa mual dan membawa kepada sakit kepala.
Walau bagaimanapun, kuning boleh membantu meningkatkan aktiviti mental dan tenaga.
Gunakan warna kuning pada buku nota atau tulisan untuk membantu meningkatkan tumpuan, menjadi lebih ceria dan optimistik.
Biru
Dianggap tenang dan damai. Sebab itulah, banyak bilik tidur yang menggunakan warna biru kerana ia membantu otak menghasilkan bahan kimia yang memberi kesan untuk menenangkan fikiran seseorang.
Pendapat ahli fisiologi pula mengatakan warna biru boleh mengurangkan metabolisme, denyutan lebih rendah, kadar pernafasan di bawah paras normal dan paling penting boleh menyekat selera makan anda.
Jingga
Dianggap sebagai warna hangat dan bertenaga kerana dicipta menggunakan gabungan warna merah dan kuning.
Dalam terapi warna, jingga digunakan untuk menyembuhkan paru-paru dan membantu meningkatkan tenaga, aliran darah dan aktiviti mental.
Ungu
Ia membangkitkan meditasi dan pemikiran yang mendalam pada orang-orang yang melihatnya. Digunakan sebagai simbol kekayaan dan kuasa.
Merah jambu
Ia mempunyai bayangan merah dan memberi kesan yang menenangkan. Dianggap warna feminin dan dilabelkan sebagai warna romantik.
Hijau
Warna ini terletak di tengah-tengah spektrum cahaya dan mempunyai hubungan yang kuat dengan alam semula jadi.
Hijau juga dianggap sebagai warna yang paling mudah untuk mata dalam mewujudkan kesan yang menenangkan.
Kelabu
Warna kelabu dianggap menindas dan tiada kaitan dengan pengaruh psikologi seseorang.
Walaupun ia dikaitkan dengan keyakinan diri dan kebebasan terutamanya seseorang yang terlibat dalam perniagan, namun ia juga menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan kemurungan.
Hitam
Dikatakan semua warna di dalam lingkungan spektrum cahaya diserap dan menunjukkan ancaman pada seseorang.
Warna hitam turut memberikan kesan kepada objek dan memberi keseimbangan kepada warna putih.
Coklat
Warna ini memberi memori yang kuat pada otak dan hubungan antara alam dengan bumi.
Malah, ia adalah warna yang paling digemari di kalangan lelaki kerana kehangatan dan keselesaan.
Selain itu, warna coklat boleh membantu seseorang merasa lebih selesa dan selamat.