Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warna untuk kaum wanita

    APABILA memperkatakan pilihan warna tema untuk ruang kediaman, merah jambu sering dikaitkan dengan anak perempuan. Malah, ada golongan dewasa terutama wanita menggemari warna lembut ini.

    Terkini, merah jambu tidak hanya terhad untuk menghiasi ruang yang dihuni wanita kerana ada juga memilih warna ini sebagai tema keseluruhan kediaman termasuk di ruang tamu yang menjadi tumpuan ahli keluarga.

    Sebetulnya, merah jambu yang sinonim dengan warna lembut tidak berkarakter begitu jika dipaparkan dalam rona pekat atau garang.

    Kediaman yang membawa warna ini akan mampu menampilkan suasana yang hangat dan meriah.

    Walaupun ada yang menggunakannya, hakikatnya merah jambu bukanlah warna yang kerap kelihatan. Ia kurang diketengahkan berbanding warna neutral dan lembut lain seperti putih dan krim.

    Terkini, merah jambu tidak hanya terhad untuk menghiasi ruang yang dihuni wanita kerana ada juga memilih warna ini sebagai tema keseluruhan kediaman termasuk di ruang tamu yang menjadi tumpuan ahli keluarga.

    Namun, ia kerap dilihat menghiasi bilik tidur anak perempuan, sama ada kanak-kanak, remaja mahupun dewasa. Hanya mereka yang berani dan tetap hati sanggup menggunakan warna tema ini di seluruh ruang kediaman.

    Kebanyakannya memilih merah jambu untuk ruang tertentu, misalnya di bilik tidur atau ruang tamu.

    Enak dipandang

    Bagaimanapun, tidak siapa menafikan merah jambu warna manis dan enak dipandang. Jika diketengahkan dalam rona pekat dan menyerlah, ia boleh menekan emosi tanpa kita sedari. Bagi mengelak gangguan ini, sewajarnya merah jambu digandingkan dengan putih kerana ia dapat meredakan kehangatan rona berkenaan.

    Boleh juga dipadankan dengan warna lembut atau sedikit kelam dengan syarat dihadkan kepada dua atau tiga saja padanan warna. Perlu diingatkan, gandingan dengan pelbagai warna boleh menenggelamkan tema merah jambu yang ingin ditonjolkan.

    Penggayaan warna tema ini bebas, namun hanya daya kreativiti suai padan warna berupaya mewujudkan suasana menarik. Silap penggayaan suasana nampak janggal dan kurang menarik dipandang.

    Penggunaan sedikit simbahan merah jambu di ruang serba putih pula sudah cukup menonjolkan kehadiran warna itu. Ia mungkin diketengahkan menerusi dinding, fabrik atau hamparan di lantai.

    Namun, paparannya di sesuatu medium perlulah diiringi dengan medium lain di sekitarnya untuk mewujudkan penegasan atau kesinambungan antara satu sama lain.

    Jika memilih untuk mengecat keseluruhan dinding dengan merah jambu, pilih rona lebih lembut bagi mengelak tekanan dan menampakkan suasana luas. Jika memilih warna menyerlah, perlihatkan dalam kadar sedikit dan lebihkan padanan warna lembut atau neutral. Sebagaimana warna lain, merah jambu juga boleh didapati dalam pelbagai rangkaian rona daripada cerah, gelap hingga menyerlah.

    Mirip merah jambu ialah merah kekuningan atau peach dan ungu kemerahan. Bagi menampakkan suasana ‘pop’ dalam bilik misalnya, cuba berikan sentuhan merah jambu menyerlah atau fuchsia. Pilihan warna ini sesuai dipamerkan pada satu bahagian dinding saja dan imbangkan dengan warna lebih cerah pada dinding lain. Merah jambu jenis magenta pekat pula sesuai dengan gandingan krim atau ‘off-white.’ – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda