Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Warna-warni ikan platy jadi tarikan

    Oleh Raz AS

    Ikan Platy merupakan antara ikan yang menjadi pilihan ramai penggiat hobi akuarium sama ada baharu mahupun lama, untuk dipelihara, bahkan dibiak kerana ia mempunyai warna-warni yang cantik dan senang untuk dijaga.

    Serupa dengan ikan gupi dan seumpamanya, ikan ini merupakan spesies ikan livebearer, bermaksud ia akan menetaskan telurnya di dalam perut dan ‘melahirkan’ anak.

    Ikan air tawar ini adalah spesies natif kepada Mexico dan Amerika Tengah. Dengan spesies-spesies platy yang biasa ditemui di kedai ikan akuarium adalah spesies xiphophorus maculatus dan xiphophorus variatus.

    Ia boleh dikacukkan sesama sendiri dan juga dengan spesies swordtail, yang telah menghasilkan pelbagai variasi warna. Oleh yang demikian, ikan platy dengan warna-warna dan corak baharu sentiasa boleh didapati di pasaran.

    Antara varieti yang popular adalah seperti Mickey Mouse, Sunburst, Red Wag, Blue, Bumblebee dan Green Lantern.

    Ikan platy boleh dikacukkan sesama sendiri dan juga dengan spesies swordtail yang menghasilkan pelbagai variasi warna. – Agensi

    Ikan platy boleh membesar sehingga kira-kira 2 hingga 3 inci atau 5 hingga 7 sentimeter, walau bagaimanapun jenis dwarf pula hanya sepanjang kira-kira 1 inci.

    Manakala itu, ikan ini boleh hidup sehingga 3 hingga 4 tahun apabila disimpan dalam persekitaran yang optimum dengan air bersih, pemakanan yang baik serta rendah stres.

    Antara salah satu lagi faktor kepopularannya adalah ia boleh didapati dengan harga yang sangat murah, bergantung jenisnya.

    Ikan platy yang sihat mempunyai mata yang berkilau, perut yang membulat dan aktif. Sekiranya awda mendapati salah seekor daripada ikan platy yang dijual dalam keadaan sakit sebaik-baiknya dapatkan ia di kedai yang lain.

    Akuarium yang berukuran 38 hingga 75 liter merupakan saiz terbaik, bagaimanapun seperti ikan lainnya lebih besar akuarium tersebut lebih baiklah ia.

    Meskipun kebanyakan ikan livebearer lebih sesuai di air yang mempunyai pH tinggi, ikan platy mampu bertahan dalam lingkungan 6.8 hingga 8.5pH. Suhu air yang sesuai adalah antara 23 hingga 26 darjah Celsius. Pelbagai sistem tapisan boleh digunakan untuk akuarium anda selagi mana ia tidak menghasilkan air yang terlalu deras.

    Kerana ia cepat membiak, menempatkan kawanan antara tiga hingga enam ekor sudah mencukupi dengan kira-kira dua ekor ikan betina bagi setiap seekor ikan jantan. Ikan platy mempunyai sifat yang aman dan sama sekali tidak agresif, menjadikannya sesuai ditempatkan dengan spesies-spesies ikan kecil sesifat dengannya seperti tetra, rasbora, cory ikan duri, gupi dan rainbowfish.

    Ikan ini juga tidak perlu sentiasa diberi makan kerana ia juga memakan tumbuhan mahupun alga yang tumbuh di akuarium awda.

    Sekali dalam setiap dua hari sudah cukup memadai untuk ikan platy dewasa, manakala platy juvenil pula lebih kerap tetapi dalam kuantiti yang sedikit.

    Sekiranya terlihat najis panjang sentiasa melekat pada platy awda, kuantiti makanannya perlulah dikurangkan. Ikan platy mampu bertahan sehingga selama seminggu tanpa makanan.

    Akan tetapi sekiranya awda akan berpergian lama, sama ada dapatkan mesin memberi makan automatik atau dapatkan bantuan seseorang untuk menjaganya.

    Dengan kondisi akuarium yang sesuai ikan platy betina boleh melahirkan sehingga 50 ekor anak ikan setiap bulan. Ikan platy dewasa tidak akan menjaga, malah berkemungkinan juga akan memakan anak-anak ikan tersebut.

    Akuarium yang dihiasi dengan tumbuhan atau perhiasan memberi tempat berlindung untuk anak-anak ikan platy. Sementara itu, span pra-tapisan juga perlu dipasang pada tiub intake air agar anak-anak ikan tidak turut tersedut ke dalamnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...