Oleh Lenna N.B.
WALAUPUN negara kita ini kelihatan agak kecil di peta dunia tetapi memang tidak dapat dinafikan keunikannya dengan memiliki kepelbagaian budaya dan bangsa. Kita hidup bersatu padu dan aman damai di bawah payung Darussalam dan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam yang terkenal dengan semangat berjiwa rakyat.
Dalam keharmonian aman damai inilah telah dihidupkan dan dipersembahkan di Malam Kebudayaan Progresif yang telah dianjurkan di Jerudong Park Amphitheater pada malam 15 Julai 2017, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraaan Kebawah Duli Baginda Sultan yang ke 71 tahun.
Sejumlah kira-kira lebih 400 orang pengunjung memenuhi ruang Jerudong Park Amphitheater di malam tersebut. Hadir selaku Tetamu Kehormat adalah Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adnan, Ahli Lembaga Progresif yang disertai dengan Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Paul Taylor dan ahli-ahli lembaga pengurusan serta para pemegang-pemegang kepentingan (stakeholders).
Turut memeriahkan Malam Progresif adalah rakan-rakan kerjasama daripada Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, pihak Pelancongan Brunei, Kedutaan-Kedutaan Tinggi merangkumi Indonesia, Filipina dan India, sekumpulan persatuan dari Filipina, Permai dari Indonesia dan Persatuan India.
Malam Kebudayaan Progresif berlangsung kira-kira selama dua jam bermula dari jam 8.15 malam dengan menggabungkan variasi persembahan kebudayaan daripada Brunei, Indonesia, India, Filipina, Bangladesh dan China, yang secara langsung mewakili keseluruhan masyarakat di Brunei sama ada rakyat Brunei sendiri, penduduk tetap atau warga pekerja dari luar Negara.



Tarian animasi pembuka tirai
Tarian animasi adalah sebuah tarian generasi moden yang menggabungkan gerakan animasi melalui skrin pentas dengan gerakan tarian daripada penari yang sebenarnya di atas pentas, menjadi pembuka persembahan yang cukup menarik di atas pentas Amphitheater dengan menggabungkan gerakan warna-warna hijau dan merah jambu, melambangkan kemajuan progresif membawa kreativiti, inovasi dan perkembangan intelektual dengan menghargai khazanah lama dan pada masa yang sama tetap seiring maju dengan perkembangan teknologi.
Progresif Cellular Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat rangkaian Kerajaan yang bertapak di Bandar Seri Begawan. Diasaskan dalam tahun 2014 dengan misi untuk menubuhkan Progresif sebagai pemangkin untuk perubahan dalam sektor telekomunikasi, yang tertumpu kepada peningkatan kualiti kehidupan dan menyokong pertumbuhan ekonomi di Brunei melalui pembangunan yang menguntungkan, perkhidmatan dan produk jangka masa panjang termasuklah peranti celular dan perkhidmatan Internet mudah alih, perkhidmatan jalur lebar dan perhubungan perusahaan.
Progresif kini mempunyai lebih daripada 265 pekerja, dengan lapan buah cawangan Progresif di seluruh daerah. Kejayaan Progresif pada hari ini telah memperlihatkan peranannya untuk membawa kemajuan kepada Brunei Darussalam, di samping memberikan perkhidmatan yang diperlukan untuk penduduk negara ini, Progresif juga menjadi antara badan yang menyokong kepada bakat-bakat muda tempatan, menghargai khazanah bangsa dan mempamerkan keindahan pelbagai budaya Brunei.
Gerakan tarian animasi pembuka persembahan Malam Kebudayaan Progresif yang rancak dan pada masa yang sama penuh kelembutan, ternyata mencerminkan sebalik peranan Progresif kepada masyarakat dan negara seakan menjalinkan suatu hubungan yang sangat bererti dan bernilai.



Kepelbagaian budaya di satu malam
Tema persembahan di Malam Progresif adalah keindahan sebalik aneka budaya dan bangsa yang bersatu menuju ke arah Progresif Brunei. Justeru itu, persembahan adalah merangkumi tarian tradisi Brunei, serta tarian tujuh puak Brunei yang melambangkan rakyat jati Brunei, tarian tanglung Cina dan seni pertahanan diri Cina iaitu dari Kungfu ke Wushu melambangkan komuniti Cinta yang telahpun bertapak sekian lama di negara ini, tidak kurang juga beberapa tarian Bollywood daripada Desi Divaz Dance Group, Teen Rookies Dance Group dan Thundering Kids yang mencerminkan komuniti India di negara ini.
Tidak ketinggalan juga adalah persembahan silat dari Indonesia serta tarian Kuda Lumping yang diiringi dengan instrumen muzik dari negara tersebut, seni tari Malong tradisi Filipina dan tarian moden Filipina.
Setiap komuniti menunjukkan keunikan dan keindahan budaya mereka dalam satu malam, menggabungkan budaya tradisi dan kontemporari jelas menunjukkan bagaimana masyarakat dan penduduk Brunei bergerak seiring dengan perkembangan negara.
Kepelbagaian budaya dan bangsa bukan penghalang kepada perpaduan, membuktikan betapa kita semua dapat bersatu, harmoni dan aman damai di bawah pimpinan Baginda Sultan.
Begitulah menariknya persembahan kebudayaan di malam Progresif yang menyerikan pentas Jerudong Park Amphitheater baru-baru ini di mana ia menyatukan kira-kira 116 peserta persembahan dari pelbagai bangsa dan budaya.



Peluang memenangi telefon fimbit
Di samping dihiburkan dengan persembahan-persembahan yang cukup mengagumkan, Malam Kebudayaan Progresif juga menarik perhatian penonton dengan sesi kuiz merangkumi lebih 20 soalan secara keseluruhannya. Antara hadiah utama bagi pemenang kuiz adalah beberapa buah telefon bimbit jenama Huawei Y3II.
Justeru itu, di samping bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraaan Kebawah Duli Baginda Sultan, Malam Kebudayaan Progresif secara tidak langsung turut bertujuan untuk menghargai para pelanggan Progresif yang mencapai 150,000 pelanggan. Oleh itu, sesiapa sahaja berpeluang untuk menyaksikan persembahan di malam tersebut secara percuma, bagi sama-sama meraikan Hari Keputeraan pemimpin kita yang tercinta.
Penutup majlis yang meriah
Sebuah syarikat dan kumpulan seni persembahan Brunei menjadi penutup di Malam Progresif dengan menampilkan tarian kontemporari dan rancak di mana ia jelas melambangkan golongan belia yang aktif, energetik dan progresif.
Menariknya, mereka turut menggunakan telefon bimbit yang memancarkan sinar warna cahaya hijau dan merah jambu, iaitu warna tema Progresif sendiri.
Begitulah Malam Progresif telah menyerikan malam keputeraan Baginda Sultan dengan penuh meriah. Salah satu objektif utama mereka adalah untuk mempamerkan kepimpinan Baginda yang telah membawa kepada perpaduan pelbagai bangsa dan budaya di negara ini di samping turut menampilkan penduduk kita yang sentiasa menuju ke arah progresif.