OAKLAND, Amerika Syarikat, 9 Nov – Klay Thompson mencatatkan 28 mata tertinggi dalam perlawanan itu ketika Golden State Warriors menamatkan rentetan kemenangan Minnesota Timberwolves 125-101 semalam bagi kemenangan kelima berturut–turut.
Juara bertahan liga itu, Warriors, meneruskan penguasaan mereka ke atas Minnesota dalam persaingan di antara kedua pendahulu divisyen NBA. Pasukan Golden State sekarang sudah menewaskan Timberwolves dalam 18 dari 21 perlawanan lalu mereka.
Pasukan Timberwolves mencatatkan lima kemenangan berturut–turut sebelum ini dan mengungguli kedudukan teratas Northwest Division ketika memasuki persaingan di depan 19,500 penyokong di Oracle Arena itu. Golden State mengukuhkan kedudukan mereka dan suku ketiga mencatatkan jaringan 44-26 untuk menewaskan Minnesota dan memperbaiki kedudukan 9-3 musim ini.
Stephen Curry menghasilkan 22 mata dan lapan asis bagi Warriors yang mendahului Pacific Division yang beraksi tanpa pemain penyerang all-star, Kevin Durant kerana kontusi pada paha kiri.

Pasukan Timberwolves menghasilkan 48.6 peratus percubaan dari gelanggang ketika menghasilkan kemenangan mereka, tetapi pertahanan Warriors memaksa Minnesota melakukan beberapa siri lontaran teruk menyebabkan pasukan itu hanya menghasilkan 41.2 peratus dalam perlawanan malam itu.
Pemain penyerang Anthony Wiggins menjaringkan 17 mata dan pemain tengah Karl-Anthony Towns menghasilkan 16 mata dan 12 ‘rebound’ bagi Timberwolves. Jeff Teague dan Taj Gibson dari Minnesota masing–masing menjaringkan 14 mata. – AFP