MIAMI, 24 MAC – Jordan Poole menjaringkan 30 mata ketika Golden State Warriors menamatkan siri kekalahan mereka secara bergaya dengan menewaskan pendahulu Eastern Conference Miami Heat 118-104 semalam.
Warriors, tanpa pengawal Stephen Curry, telah merosot kepada tiga kekalahan berturut-turut sebelum perlawanan di Florida semalam, dengan kekalahan 94-90 kepada Orlando pada Selasa menjadi halangan terbaharu.
Jurulatih Warriors, Steve Kerr bertindak dengan memilih merehatkan Draymond Green dan Klay Thompson, dan pertaruhan itu meraih ganjaran apabila barisan pemain itu beraksi cemerlang di Arena FTX di Miami.
Poole mencatat sembilan assist selain prestasi 30 mata, sementara Andrew Wiggins, Jonathan Kuminga dan Damion Lee masing-masing berakhir dengan 22 mata.
Setelah mendahului sebanyak 19 mata dalam suku ketiga, Warriors nampaknya bergoyah selepas Miami bangkit dalam perlawanan untuk mendahului awal dalam tempoh suku keempat.
Namun Poole, Wiggins dan Kuminga bergabung untuk menyumbang 23 mata dalam suku keempat untuk menyaksikan Warriors menang.
Golden State meningkat kepada 48-25 untuk tempat ketiga dalam Western Conference sementara Miami merosot kepada 47-25 di atas senarai kedudukan Eastern Conference, hanya satu setengah perlawanan di depan Milwaukee Bucks.
“Hanya kerana semangat persaingan dan pelaksanaan strategi kami adalah lebih baik,” kata Kerr.
“Saya fikir pemain kami layak memperoleh kemenangan ini. Apabila awda mempertahankan dengan baik, permainan menjadi lebih senang.”
Kerr mengakui kemenangan adalah amat berbeza apabila pasukannya bergelut ketika menentang Orlando 24 jam sebelum itu. – AFP