Wartawan AS dipenjara 11 tahun

YANGON, 12 NOV – Seorang wartawan Amerika Syarikat (AS) yang ditahan di Myanmar sejak Mei, telah dijatuhi hukuman penjara 11 tahun atas tuduhan pergaulan yang menyalahi undang-undang, menghasut dan melanggar peraturan visa.

Junta Myanmar yang menyekat kebebasan media sejak rampasan kuasa, menahan Danny Fenster, 37, ketika cuba meninggalkan negara itu pada Mei lalu, juga menuduhnya menghasut dan keganasan yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup.

Danny yang bekerja dengan Frontier Myanmar hampir setahun dan sedang pulang ke rumah untuk menemui keluarganya apabila dia ditahan.

Sementara itu, agensinya, Frontier Myanmar, kecewa dengan keputusan yang mensabitkannya dengan tiga pertuduhan dan hukuman penjara 11 tahun itu.

“Semua di Frontier kecewa dengan keputusan itu. Kami hanya mahu melihat Danny dibebaskan secepat mungkin,” menurut agensi itu.

Peguam Danny, Than Zaw Aung memberitahu AFP, anak guamnya belum memutuskan sama ada mahu membuat rayuan ke atas hukuman tersebut. Junta Myanmar telah memberkas lebih 100 wartawan sejak merampas kuasa, menurut Reporting ASEAN, sebuah kumpulan pemantau media, dengan akses internet dan lesen media tempatan turut dibatalkan.

Dalam pada itu, penasihat kanan Kumpulan Krisis Myanmar, Richard Horsey menyifatkan hukuman itu sebagai ‘keterlaluan.’

“Ia menghantar mesej kepada wartawan antarabangsa dan tempatan di Myanmar bahawa melaporkan berita secara fakta mengenai situasi di negara itu boleh mengakibatkan mereka dipenjarakan selama bertahun-tahun,” katanya. – AFP

Gambar serahan keluarga Danny Fenster semasa dia berada di Yangon, Myanmar pada tahun 2020. Mahkamah junta Myanmar hari ini menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun ke atasnya atas beberapa kesalahan, termasuk menghasut dan keganasan. – AP