BANDAR MEXICO, 16 Mei – Seorang wartawan tempatan yang pernah memenangi anugerah dan yang juga penyumbang kepada Agence France-Presse (AFP) yang pernah melaporkan tentang kumpulan jenayah ganas dadah di Mexico telah ditembak mati di jalan raya semalam, sumber mahkamah memberitahu AFP.
Javier Valdez, 50 tahun yang ditembak berhampiran premis Riodoce, mingguan berita Mexico yang diasaskannya, di bandar kelahirannya, Culiacan di negeri barat laut Sinaloa, menurut sumber itu.
Vladez adalah wartawan kelima yang dibunuh tahun ini di sebuah negara yang dibelenggui keganasan dadah dan rasuah, menurut para pegawai dan kumpulan hak media.
Pengarah berita sejagat AFP Michele Leridon berkata, “Kami ditakutkan oleh tragedi ini dan kami menyampaikan ucap takziah kepada keluarga Javier dan mereka yang rapat dengannya.
“Kami menyeru pihak berkuasa Mexico supaya menjelaskan tentang pembunuhan pengecut itu,” tambahnya lagi.

“Javier menunjukkan keberanian yang ekstrem dengan selama bertahun-tahun menyiasat kartel dadah berpengaruh di Mexico, dengan menyedari bahawa nyawanya dalam bahaya dalam berbuat sedemikian.”
Presiden Enrique Pena Nieto berkata melalui Twitter bahawa beliau telah mengarahkan ‘penyiasatan ke atas jenayah yang amat mengejutkan ini.’
Rafael, abang kepada Valdez berkata adiknya itu ‘sangat gembira’ beberapa hari kebelakangan dan tidak menunjukkan dia telah menerima ancaman.
“Dia sangat tidak bercakap apabila melibatkan kerjanya. Dia tidak pernah bercakap tentangnya supaya tidak melibatkan orang lain,” Rafael Valdez memberitahu AFP. – AFP