Wartawan CNN terima padah

WASHINGTON, 8 Nov – Rumah Putih hari ini menggantung pas media wartawan CNN selepas berlaku perang mulut dengan Donald Trump semasa sidang akhbar dan presiden Amerika Syarikat menyifatkan wartawan itu sebagai ‘musuh orang ramai.’

Trump dalam keadaan marah menyifatkan wartawan Jim Acosta sebagai ‘tidak beradab, individu yang teruk,’ selepas koresponden CNN di Rumah Putih menolak arahan presiden untuk duduk dan memberikan mikrofon semasa sidang akhbar sehari selepas pilihan raya pertengahan penggal AS.

“Rumah Putih telah menggantung pas wartawan yang terlibat sehingga makluman diberitahu kelak,” kata jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders merujuk kepada Acosta, di mana beliau kemudiannya memberitahu menerusi Twitter bahawa beliau tidak dibenarkan masuk ke Rumah Putih.

Perang mulut itu bermula selepas wartawan itu meminta pandangan presiden mengenai pendatang karavan Amerika Tengah yang dalam perjalanan menuju ke sempadan AS.

Trump berkata, “cukup!’ dan petugas Rumah Putih gagal untuk mengambil mikrofon daripada wartawan CNN itu.

Jim Acosta (kiri) berperang mulut dengan Presiden Donald Trump semasa sidang akhbar lepas pilihan raya di Rumah Putih kelmarin. – AFP

“Presiden Trump percaya kebebasan media dan menjangkakan serta mengalu-alukan soalan yang sukar mengenai beliau dan pentadbirannya,” menurut Sanders dalam kenyataannya.

“Bagaimanapun kami tidak akan bertolak ansur apabila seorang wartawan menyentuh wanita yang cuba untuk melakukan tugasnya sebagai petugas Rumah Putih. Tindakan ini tidak dapat diterima,” katanya.

Acosta memberi maklum balas tuduhan itu menerusi Twitter, penggantungan pas media itu menunjukkan tindak balas terhadap soalan yang mencabar.

Sanders melemparkan tuduhan yang tidak benar dan memetik insiden tersebut tidak pernah berlaku, menurut rangkaian kabel AS itu.

“Keputusan yang tidak pernah berlaku ini merupakan satu ancaman kepada demokrasi kita dan negara ini layak menerima yang lebih baik. Kami menyokong Jim Acosta.” – AFP