Wartawan ditemui mati dibunuh

BANDAR MEXICO, 12 APRIL – Seorang wartawan warga Mexico yang hilang lebih seminggu lalu di selatan Guerrero, ditemui mati berhampiran lokasi terakhir mangsa dilihat keluarganya, kata pendakwa raya tempatan, semalam.

Ujian forensik ke atas mayat dijumpai di resort tepi pantai Acapulco, mengesahkan mangsa adalah Victor Fernando Alvarez yang dilaporkan hilang pada 2 April lalu. Susulan itu, mangsa disahkan sebagai wartawan kedua dibunuh di Mexico pada tahun ini, selepas Maria Elena Ferral ditembak mati oleh dua penyerang bermotosikal ketika ingin masuk ke dalam keretanya di Veracruz pada bulan lalu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Guerrero menyeru pihak berkuasa agar menyiasat pembunuhan Alvarez dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Mexico dilaporkan adalah negara amat berbahaya kepada pengamal media dengan lebih 100 wartawan dibunuh sejak 2000. – AFP