Wartawan Jammu dan Kashmir adakan bantahan

SRINAGAR, 4 OKT – Sekurang-kurangnya 11 persatuan media di Jammu dan Kashmir, termasuk Kashmir Press Club, semalam mengadakan bantahan di Srinagar akibat sekatan perkhidmatan komunikasi di wilayah itu sejak 60 hari lalu, lapor agensi berita Anadolu. 

“Kami hari ini bersama-sama menyatakan bahawa kami sudah cukup terseksa – 60 hari larangan media, 60 hari tanpa sebarang komunikasi dan 60 hari sekatan maklumat dari kerajaan,” menurut kenyataan bersama persatuan media. Semua wartawan media cetak dan elektronik membantah bagi menuntut akses percuma internet dan komunikasi.

“Kerosakan terbesar dilakukan kerajaan adalah menekan kebebasan akhbar dengan mengurangkan komunikasi dan sekatan internet. Inilah yang berlaku di Kashmir genap dua bulan,” kata wartawan Safwat Zargar.

“Jika seorang wartawan dapat bekerja dengan bebas, kerajaan tidak sepatutnya gusar. Sekatan itu sudah terlalu lama,” tambah Zargar.

Jammu dan Kashmir dikatakan terputus hubungan dengan dunia luar sejak 5 Ogos lalu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa India mendakwa 93 peratus rantau Jammu dan Kashmir yang dipertikaikan bebas daripada sebarang larangan pada waktu siang. India menyekat sebarang komunikasi untuk menghalang sebarang pemberontakan, sementara pemimpin politik di rantau ini turut ditahan. – Bernama